Bahasa

Perlu undang-undang untuk tapis calon PRU, kata SPR

Oleh Mohd Farhan Darwis
December 24, 2012

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Satu peruntukan undang-undang diperlukan bagi menyaring bakal calon pilihan raya umum (PRU) ke-13 atau cukup sekadar tapisan dalaman parti politik masing-masing sekiranya peruntukan sedemikian tidak diwujudkan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, tugas menyaring calon untuk bertanding PRU merupakan tanggungjawab parti politik bagi memastikan calon yang mewakili mereka bebas daripada unsur rasuah.

“Ini kerana sudah menjadi tanggungjawab parti itu sendiri untuk memilih dan memastikan calonnya bersih dari sebarang unsur rasuah.

“Sebenarnya, perkara ini terpulang kepada parti itu kerana mereka berhak menyaring calon-calon mereka,” katanya dipetik laporan Sinar Harian Online.

Disamping menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi tujuan itu, Wan Ahmad turut menjelaskan, parti politik harus berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Pencegahan Rasuah (SPRM) sekiranya mereka serius dengan perkara itu.

“Sebenarnya, sebelum ini kerjasama di antara kedua-dua agensi itu sudah lama wujud cuma melibatkan skop tugas yang berbeza iaitu membabitkan membanteras politik wang dan rasuah semasa pilihan raya berlangsung.

“Cuma kerjasama dalam menyaring dan menentukan integriti calon sahaja yang masih belum diwujudkan lagi,” katanya.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaafar mencadangkan tapisan calon itu dilaksanakan membabitkan semua parti politik dan individu bertanding calon Bebas.

Cadangan itu turut termasuk ahli Parlimen yang dicalonkan semula atau pertama kali bertanding.

Wan Ahmad turut berkata, dari aspek lain, perkara itu bakal menyekat kebebasan demokrasi, namun turut menambah, sekiranya  undang-undang itu diwujudkan, semua parti politik wajib mematuhinya.

“Sebenarnya, cadangan itu baik terutamanya untuk memastikan calon yang diketengahkan adalah calon yang bersih.

“Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut lain, sebenarnya jika ia dilaksanakan ia akan menyekat kebebasan demokrasi yang diamalkan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, SPR hanya melihat calon yang layak bersih dari sisi undang-undang, seperti tidak muflis, tidak disabitkan dengan kesalahan di mahkamah sehingga menyebabkan hilang kelayakan untuk bertanding dan sebagainya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi