
Mohd Zabidin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria merumuskan penghujahannya hari ini.
Hakim turut mengarahkan pasukan pembelaan mengemukakan penghujahan bertulisnya kepada mahkamah pada Selasa selepas peguam bersama Anwar, Datuk Param Cumaraswamy memaklumkan bahawa peguam utama Karpal Singh mahu membalas hujahan kepada pasukan pendakwaan.
Param Cumaraswamy berkata Karpal tidak hadir hari ini kerana beliau berada di Mahkamah Rayuan untuk mengendalikan satu kes lain.
Ini merupakan kali kedua Anwar memohon supaya hakim perbicaraan menarik diri. Yang pertama selepas hakim enggan mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung laporan yang didakwa pembelaan predudis terhadap kes itu.
Permohonan pertama itu ditolak Mohd Zabidin serta oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkaman Persekutuan.
Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Ketua Pembangkang memohon untuk hakim itu menarik diri atas alasan bahawa hakim berkenaan telah menggugut peguamnya pada Isnin lepas, dan walaupun hakim telah menarik ugutan itu, Anwar berkata terdapat sikap berat sebelah jika hakim berkenaan terus mendengar kesnya.
Anwar mendakwa bahawa hakim berkenaan telah memberitahu peguamnya bahawa permohonannya agar beliau menarik diri boleh menghina mahkamah, di mana peguam beliau berkata hakim berkenaan telah mengugutnya.
Anwar juga memfailkan permohonan atas alasan bahawa hakim itu telah memberikan tafsiran berbeza dengan keputusan Mahkamah Agung 1993 berkaitan peruntukan Seksyen 45 Akta Keterangan dalam keputusannya yang menafikan Anwar akses pada nota klinikal Mohd Saiful Bukhari kepada pembelaan.
Mohd Hanafiah dalam penghujahannya berkata permohonan Anwar itu remeh serta menyusahkan dan undang-undang mengesahkan tiada asas jelas untuk hakim itu menarik diri hanya kerana satu perintah dikenakan terhadap pemohon.
Mohd Hanafiah berhujah bahawa tindakan Mohd Zabidin pada Isnin, di mana Karpal Singh mendakwa hakim telah mengugutnya, adalah jelas satu nasihat dan ingatan pihak Yang Arif sebagaimana hakim mengingatkan saksi akan akibat berbohong di mahkamah dan tiada ugutan berlaku sebagaimana didakwa peguam Anwar.
Oleh itu, beliau berkata sangat jelas asas yang dikemumakan untuk permohonan itu tidak konsisten malahan remeh, dan sebenarnya mala fide untuk melewat-lewatkan perbicaraan.
Sehubungan itu, Mohd Hanafiah berkata mahkamah hendaklah menolak permohonan supaya hakim menarik diri kedua yang dikemukakan kerana jelas ia tidak mempunyai sebarang merit.






