Bahasa

Permohonan semak keputusan inkues Beng Hock 1 Dis

SHAH ALAM, 6 Okt – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 1 Disember depan mendengar dan memutuskan sama ada keluarga mendiang Teoh Beng Hock boleh meneruskan permohonan menyemak keputusan terbuka Mahkamah Koroner mengenai kematiannya.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar menetapkan 10 November depan bagi mahkamah mendapatkan dokumen asal daripada Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian setiausaha politik kepada anggota exco kerajaan Selangor itu.

Mahkamah juga menetapkan 18 November depan bagi membolehkan Timbalan Pendakwa Raya memasukkan hujahan bertulis untuk memohon mencelah dalam permohonan semakan berkenaan.

Peguam Gobind Singh Deo dan S Prakash hadir di mahkamah bagi pihak keluarga Teoh sementara pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Anas Mahadzir, lapor Bernama Online.

Keluarga Teoh memfailkan permohonan semakan pada 30 Sept lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah terhadap keputusan terbuka yang dibuat oleh Mahkamah Koroner berhubung kes kematian Teoh.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memfailkan permohonan sama pada 7 Januari, dua hari selepas Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka bahawa kematian Teoh pada 2009 bukanlah membunuh diri atau dibunuh.

Bagaimanapun pada 22 September lepas, Gani menarik balik permohonan itu atas alasan semakan berkenaan difailkan sebelum suruhanjaya bagi menyiasat kematian Teoh ditubuhkan dengan menyatakan ia tidak lagi perlu diteruskan kerana suruhanjaya telah memutuskan Teoh meninggal dunia akibat membunuh diri.

Teoh, 30, Setiausaha Politik Anggota Exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor di tingkat 14 bangunan itu.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.