Bahasa

Permuafakatan komuniti 1Malaysia bantah pembalakan, amanat Haji Hadi

ALOR SETAR, 6 Jan – Permuafakatan Komuniti 1Malaysia negeri Kedah hari ini membantah keras aktiviti pembalakan berhampiran Tasik Pedu, selain turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengeluarkan amanat yang menyesatkan umat Islam.

Pengerusinya Datuk Ismail Arshad berkata pembalakan hutan dara Pedu yang dipelihara sebagai kawasan tadahan air melanggar syarat perjanjian yang ditetapkan Bank Dunia bagi meluluskan pinjaman kepada kerajaan Malaysia membina Empangan Pedu pada 1969.

Beliau berkata Bank Dunia juga menetapkan syarat tanah di kawasan tadahan tidak boleh diubah dan hutan tidak boleh diteroka bagi menjamin penerimaan hujan secukupnya.

"Saya mewakili 93,000 anggota Permuafakatan Komuniti 1Malaysia seluruh negeri Kedah sangat dukacita dan kesal dengan kerajaan negeri kerana sanggup bubuh pasir dalam periuk nasi petani.

"Air Tasik Pedu untuk kegunaan domestik, industri dan tanaman padi akan terjejas apabila kawasan pembalakan menerima hujan berkurangan akibat kepanasan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa permuafakatan itu di sini.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjelaskan lebih 400 hektar hutan mengandungi balak berhampiran Tasik Pedu diteroka untuk dijadikan ladang buah-buahan tropika manakala hampir 1,000 hektar di Gunung Inas, Baling akan dijadikan ladang rakyat.

Mengenai Amanat Haji Hadi, Ismail berkata ia sebenarnya bukan amanat kerana amanat adalah 'pesan berpesan atas perkara yang benar dan hak' dan sebaliknya Amanat Haji Hadi adalah penipuan dan pembohongan yang cukup jelas.

Selain itu, katanya penggunaan kalimah Allah dalam Bible yang dibangkitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula sengaja bertujuan agar umat Islam terus bertelagah. – Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.