Bahasa

Perpaduan dalam PBB tunjang kekuatan BN di Sarawak — Taib

August 29, 2012

KUCHING, 29 Ogos — Perpaduan yang kukuh dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  menjadi tunjang kepada kekuatan Barisan Nasional (BN) di Sarawak walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) di sini.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata perjuangan utama parti adalah untuk menyatupadukan semua kaum di Sarawak dan bukan sahaja dalam kalangan bumiputera agar dapat sama-sama membantu memajukan Sarawak dalam segala aspek.

“PBB mempunyai sejarahnya yang tersendiri iaitu daripada tiga parti kita gabungkan menjadi satu dan  asas perpaduan yang kukuh antara pemimpin bumiputera telah berjaya menjadikan PBB parti contoh kepada komponen BN yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis ramah-tamah Aidilfitri Zon Kuching di sebuah hotel terkemuka di sini.

Katanya melalui persefahaman yang tinggi dalam PBB telah membolehkan parti itu menjadi pejuang kepada rakyat semua kaum di Sarawak dan bukan hanya kepada kaum bumiputera.

Menurutnya PBB yakin ia akan kekal menjadi tunjang kekuatan BN bukan sahaja di peringkat negeri malah juga pusat.

“Saya berharap suatu hari nanti bila saya tidak lagi menjadi ketua menteri, Sarawak akan terus maju ke hadapan dengan adanya pemimpin baharu selain disokong melalui perpaduan yang kukuh antara semua rakyat di Sarawak,” katanya.

Katanya dasar politik pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau akan terus memacu negeri Sarawak setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia selain fokus kepada pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata kejayaan dapat dicapai jika rakyat Sarawak sanggup kekal bekerjasama dan berusaha lebih kuat pada masa hadapan.

“Kita yakin taraf hidup rakyat Sarawak akan dapat ditingkatkan lagi dengan adanya pelan pembangunan yang lebih baik selain melalui budaya bersatu, untuk lebih maju,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi