Bahasa

Perpecahan kelas, gender dilihat dalam corak pengundian PRU13, kata Merdeka Center

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Wanita dan rakyat Malaysia berpendapatan rendah mengundi untuk Barisan Nasional (BN) sementara lelaki, golongan kelas menengah dan kelas atas, lebih cenderung ke arah parti Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya 2013.

Ibrahim Suffian, pengarah eksekutif Merdeka Center juga mengatakan hari ini, 55 peratus daripada responden dalam tinjauan terbaru mengatakan mereka bergantung kepada internet dan media sosial sebagai sumber utama maklumat politik mereka.

“Wanita secara umumnya lebih ramai yang mengundi BN berbanding lelaki, kerana mereka kurang melayari internet,” kata Ibrahim (gambar) dalam forum Pasca PRU ke-13: Harapan BN dan PR selepas PRU-13 di Universiti Malaysia (UM) di sini.

Dianggarkan satu pertiga daripada rakyat Malaysia memiliki telefon pintar dan mempunyai akses kepada internet, dan dijangka jumlah itu akan meningkat sehingga dua ke tiga kali ganda bagi tempoh dua tahun akan datang.

“Lebih ramai lelaki yang melayari laman web politik dan isu semasa. Pengundi wanita kurang melayari laman-laman seperti ini,” katanya dalam seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM.

Jelasnya lagi, kebanyakan penyokong BN juga adalah daripada penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia yang diakuinya merupakan kumpulan pengundi di luar bandar.

Mereka yang melihat BN sebagai negatif pula merasakan perikatan itu gagal menangani masalah perkauman dan hubungan antara kaum dan rasuah.

PR pula jelasnya dillihat secara positif sebagai sebuah pakatan yang mewakili masyarakat berbilang kaum, dan janji mereka untuk pentadbiran yang bersih.

Sementara pandangan negatif terhadap PR pula disebabkan perpecahan dalaman antara ketiga-tiga parti komponen tersebut -PAS, DAP, PKR- berikutan pertikaian dalam beberapa isu.

Menjelaskan berkenaan perbezaan antara kaum, Ibrahim berkata perebutan undi juga bukan lagi disebabkan perbezaan kaum sebaliknya adalah menjurus kepada perbezaan ideologi yang ditampilkan kedua-dua parti politik, iaitu BN dan PR.

BN telah memperolehi 133 undi berbanding 89 kerusi oleh PR sekaligus membolehkan mereka membentuk kerajaan persekutuan.

Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah pun membentuk anggota Kabinetnya semalam.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments