Bahasa

Persatuan belia disaran mohon dana Sukarelawan 1Malaysia

February 03, 2013

Datuk Seri Dr Ali HamsaDatuk Seri Dr Ali Hamsa

PETALING JAYA, 3 Feb – Persatuan belia dan sukarelawan di negara ini disaran memohon Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) bagi menjayakan sebarang program serta aktiviti mereka yang membabitkan masyarakat, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Ali, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program “My Beautiful Malaysia” berkata tiada sebarang had maksimum ditetapkan untuk mendapatkan DRe1M, namun beliau percaya setiap permohonan tidak akan melibatkan jumlah yang besar memandangkan aktiviti yang dijalankan adalah berbentuk sukarela dan kemasyarakatan.

“Dana ini boleh dipohon oleh semua kumpulan, persatuan tapi bukan indvidu dan ia digunakan untuk aktiviti atau beli peralatan, ia bukan untuk bayaran elaun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program My Beautiful Malaysia di perkarangan Sekolah Taman Medan di sini.

Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berlangsung serentak di 390 lokasi seluruh negara.

Ali berkata sejak dilancarkan pada Julai lepas sehingga sekarang, daripada RM100 juta yang diperuntukkan untuk dana itu hanya RM200,000 sahaja yang telah digunakan dan oleh sebab itu beliau menggalakkan lebih banyak persatuan mengemukakan permohonan.

Menurut Ali permohonan untuk mendapatkan DRerM boleh dibuat secara dalam talian dan akan ditapis urusetia 1Malaysia For Youth (1M4U) bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan. – Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi