Bahasa

Persoalan berkenaan kesan fatwa ke atas bukan Islam timbul selepas titah Sultan Selangor mengenai ‘Allah’

Oleh Debra Chong
Penolong Pengarang Berita

January 09, 2013

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Pemimpin Kristian meluahkan kebimbangan terhadap kesan titah Sultan Selangor yang mengharamkan agama selain Islam dari menggunakan perkataan “Allah” merujuk kepada Tuhan mereka.

Sultan negeri tersebut turut memberi arahan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mengambil tindakan tegas ke atas semua kumpulan, termasuk bukan Islam yang terus mempersoalkan fatwa kerajaan negeri dan undang-undang negeri 1988 yang melarang penggunaan perkataan Arab itu.

“Bolehkah fatwa juga dikenakan ke atas bukan Islam?” kata Father Lawrence Andrew, pengarang akhbar Katolik negara ini, Herald apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.

Pada Disember 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan perkataan “Allah” bukan hanya untuk umat Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menggunakan perkataan tersebut dalam seksyen Bahasa Melayu dalam akhbar mingguannya, Herald.

Beliau enggan memberi komen lebih lanjut, dan berkata beliau hanya membiarkan soalan tersebut dijawab pakar undang-undang, selepas menunjukkan isu yang dibangkitkan dalam cabaran mahkamah Herald tiga tahun lalu.

Pada keputusan 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan mendapati “bukan Islam melakukan kesalahan jika dia menggunakan perkataan ‘Allah’ kepada Muslim tetapi tidak menjadi kesalahan jika digunakan kepada ‘bukan Muslim’.

Rev Hermen Shastri dari Gereja Methodist memberitahu The Malaysian Insider keputusan mahkamah masih lagi sah, tetapi masih belum selesai kerana rayuan Kementerian Dalam Negeri untuk melarang bukan Islam menggunakan perkataan tersebut, dengan berhujah di mahkamah kerana menggugat keselamatan negara.

“Sehingga keputusan ditukar kembali, Kristian mempunyai hak untuk menggunakannya,” kata Shastri yang merupakan setiausaha agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) — badan yang mewakili seluruh gereja Protestan seluruh negara.

Presiden CCM, Uskup Datuk Thomas Tsen memberitahu The Malaysian Insider beliau bimbang selepas titah tersebut dikeluarkan dan kesan kepada penganut Kristian Sabah dan Sarawak yang tinggal di negeri tersebut.

“Sudah tentu saya bimbang dengan kesan kepada mereka yang tinggal di sini, terutamanya apabila Najib bercakap tentang 1Malaysia dan kita mahu bercakap dalam satu bahasa,” kata uskup Lutheran merujuk kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Seperti Andrew, beliau enggan mengulas tentang titah Sultan Selangor, tetapi menbangkitkan 10 perkara dalam perjanjian dikeluarkan oleh pentadbiran Najib pada April 2011, yang membenarkan Kristian di Borneo Malaysia kebebasan untuk menggunakannya dalam amalan agama mereka menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

“Bila kami berdoa dalam bahasa kami, pengguna bahasa Melayu menggunakan perkataan ‘Allah Bapa Syurga’ merujuk ‘Our Father in Heaven’,” kata Tsen yang mengetuai Basel Christian Church of Malaysia di Sabah.

Beliau menambah amat sukar untuk penganut Kristian Sabah dan Sarawak yang bebas menggunakan perkataan tersebut di negeri masing-masing tetapi dilarang di Selangor.

“Ia pasti akan menyebabkan beberapa kekaburan dan beberapa perasaan yang pelik” kata Tsen.

Kristian di Sabah dan Sarawak mewakili 9.2 peratus penduduk di Malaysia.

Penghantaran kapal Alkitab, Bible dalam bahasa Melayu untuk penduduk bumiputera beragama Kristian, telah dihalang atau dirampas, sebelum kerajaan membenarkannya pada tahun 2011 selepas tunduk kepada tekanan.

Dalam perjanjian Kabinet melibatkan 10 perkara dalam jaminan pentadbiran Najib kepada penduduk beragama Kristian di Sabah dan Sarawak, mereka bebas untuk mengimport bible mereka dalam bahasa Melayu atau bahasa lain, termasuk bahasa Iban, Kadazan Dusun dan Lun Bawang.

Kerajaan persekutuan juga berkata tiada halangan akan dikenakan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memanggil mesyuarat tergempar dengan pegawai agama Islam untuk menghalang penggunaan perkataan Arab tersebut bagi bukan Islam, menurut Mais semalam.

“DYMM Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010,” kata Setiausaha MAIS Datuk Mohd Misri Idris dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Misri menambah Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan pernah mengeluarkan titah sama berkaitan penggunaan kalimah Allah tiga tahun yang Ialu apabila isu ini pertama kali dibangkitkan akan tetapi tidak diendahkan.

Beliau menerangkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) melarang penggunaan perkataan tersebut telah diluluskan dalam dewan undangan negeri dan menjadi undang-undang sejak Julai 1988. 

Beliau berkata undang-undang negeri juga mengikut Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan tentang penyebaran doktrin bukan Islam.

“Seksyen 9 Enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang kalimah Allah dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam ape-ape perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

“Tuduhan dan hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang melanggar peruntukan ini,” katanya.

Sultan Selangor juga menegur mereka yang menggunakan Islam bagi tujuan politik dan memberi amaran kepada mereka yang cuba menghancurkan keamanan yang dinikmati rakyat berbilang agama di Malaysia, kata Mohd Misri.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat bahawa Kristian dan bukan agama Islam tidak seharusnya menyalahgunakan perkataan tersebut untuk mencetus kekeliruan kepada umat Islam, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh menggunakan perkataan tersebut.

Beberapa tahun kebelakangan ini masyarakat Kristian dan Islam bertikam lidah mengenai perkataan Allah, dimana umat Islam mendakwa ia eksklusif untuk mereka memandangkan Islam adalah agama monotheistik dan perkataan “Allah” bermaksud Tuhan kepada umat Islam.

Masyarakat Sikh juga mendakwa perkataan “Allah” adalah sebahagian dari kitab suci mereka untuk merujuk kepada tuhan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi