Bahasa

Pertembungan antara dua generasi di DUN Bakar Bata

Ahmad Bashah berkata persaingnya juga merupakan anak kepada rakannya. – Gambar-gambar oleh Md IzwanAhmad Bashah berkata persaingnya juga merupakan anak kepada rakannya. – Gambar-gambar oleh Md IzwanKUALA LUMPUR, 17 April — Dua individu daripada era berbeza akan bertarung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata pada Pilihan Raya 2013 iaitu Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, 63 yang akan dicabar calon lebih muda 30 tahun daripadanya Eekmal Ahmad, 33, dari PKR.

Menurut Ahmad Bashah, beliau tahu tentang seorang anak muda yang akan mencabarnya.

“Saya tahu di situ (Bakar Bata) memang seat PKR,” jawab Ahmad Bashah apabila ditanya tentang peluang mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Beliau juga memberitahu, Eekmal yang merupakan anak kepada rakannya, Datuk Ahmad Md Isa, bakal menjadi lawannya dalam pilihan raya akan datang, tetapi menerima dengan hati terbuka dan berkata faktor usia bukan penentu kemenangan mana-mana calon yang bertanding.

“Orang muda? Tak apalah, kita lawan sajalah.

“Anak kawan saya juga tu, bapa dia ex-district officer, lepas itu ex-jawatankuasa pemuda saya. Bapa dia pernah jadi jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Alor Setar... masa itu saya jadi ketua,” ujar Ahmad Bashah.

Lebih menarik lagi, bapa Eekmal sendiri turun membantu anaknya berkempen dan berceramah di kawasan sekitar Bakar Bata.

“Ya, bapa dia memang ada turun.Tak apalah itu strategi masing-masing. Masa hari pilihan raya rakyat jugalah yang tentukan,” kata Ahmad Bashah dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider bulan lalu.

Eekmal (tengah) merupakan bekas setiausaha akhbar Anwar Ibrahim. Eekmal (tengah) merupakan bekas setiausaha akhbar Anwar Ibrahim. Eekmal, yang juga merupakan bekas setiausaha akhbar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui cabaran dan halangan yang dihadapinya sangat sukar terutamanya tidak memiliki sumber cukup untuk menampung kempen ataupun memberikan sumbangan kepada orang ramai menjelang pilihan raya.

“Sumber sangat terhad, saya hanya beri setakat yang mampu sahajalah.

“Penerimaan orang ramai baik, saya dah turun kebawah dan berkempen ke kawasan sekitar Bakar Bata ini sudah dua tahun,” kata beliau.

Eekmal mengakui lawannya bukan sebarangan, malahan merupakan pemimpin tertinggi Umno yang menyandang kerusi Bakar Bata sejak 1999 tetapi pada 2008 majoriti kemenangan Ahmad Bashah adalah paling sedikit pernah dimenanginya hanya dengan perbezaan 358 undi.

Percaturan strategi graduan jurusan undang-undang dari UiTM tersebut sebelum tiba pilihan raya adalah untuk menembusi kawasan-kawasan yang dianggap deposit tetap kemenangan kepada Ahmad Bashah.

“Strategi sekarang ini ialah masuk ke kawasan seperti Taman Rakyat, Seberang Terus, Kampung Berjaya dan Kampung Batin kerana semua ini adalah kawasan majoriti orang Melayu.

“Kampung Berjaya adalah deposit tetap kepada Ahmad Bashah, sama seperti Kampung Batin... tapi masa 2008 lalu, jumlah pengundi di Kampung Batin merosot banyak,” terang beliau.

Walaupun suatu ketika dahulunya bapanya bergiat aktif dalam Umno, Eekmal berkata bapanya tidak menghalang untuk terlibat dalam politik malahan bersikap terbuka dan memberikan sokongan penuh kepadanya.

“Bapa sangat memberi sokongan,” ujar bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid yang sering melahirkan pemimpin utama negara seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam daftar pemilih terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerusi DUN Bakar Bata tmempunyai 27,662 pengundi serta berada dalam kawasan Parlimen Alor Setar.

Seorang penjual Air Nira di DUN Bakar Bata. Seorang penjual Air Nira di DUN Bakar Bata. Dalam Pilihan Raya 2008, negeri Kedah buat kali pertama dalam sejarah jatuh kepada pembangkang PAS, PKR dan DAP yang kemudiannya menubuhkan Pakatan Rakyat (PR).

Ketika ini, PAS menguasai 16 kerusi DUN Kedah diikuti BN dengan 14, PKR 3 dan DAP (1) dan dua wakil rakyat Bebas, yang sebelum ini  merupakan anggota DUN PKR.

Daripada 15 kerusi parlimen di negeri tersebut, PAS menang enam kerusi, PKR menang lima kerusi dan selebihnya dimenangi oleh BN.

DUN Bakar Bata, sebuah kawasan yang terletak ditengah-tengah ibu negeri, Alor Setar yang mana merupakan pusat kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Alor Setar yang juga merupakan bandar penting negeri Kedah adalah diantara daripada bandar utama di Kedah selain daripada Bandar Sungai Petani, Bandar Kulim dan Bandar Langkawi.

Bandar-bandar ini juga membangun seiring dengan pembangunan yang ada di Alor Setar.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.