Bahasa

Perwakilan Umno: PAS terang-terangan menyokong Syiah

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Perwakilan dari Wanita Umno mendakwa bahawa ada segelintir ahli PAS menyokong mahzab Syiah secara terang-terangan. 

Senator Toh Puan Zaiton Amin berkata, kerajaan perlu memantau perkara ini memandangkan perkara ini sangat serius. 

“Semakin ramai ahli PAS secara terang-terangan menyokong ajaran Syiah, bagi saya ini sangat serius,” kata Zaiton dalam sesi perbahasannya.

Majoriti umat Islam di Malaysia mengikut mahzab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum Syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa –apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini berkata ajaran Syiah di negara ini adalah dilarang sama sekali menyebarluaskan fahaman tersebut kepada pengikut ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi bebas untuk terus mengamalkannya.

Beliau berkata mereka dibenarkan berbuat demikian selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberi kebebasan hak beragama kepada rakyat negara ini.

“Terdapat empat kategori dalam golongan kafir, begitu juga dengan Syiah, dan kita tahu bukan semua orang-orang Iran adalah golongan ekstremis seperti Syiah Rafidhah, dan golongan itu memang kita tidak harus tolong.

“Mereka sentiasa mahu menipu daya, mahu memerangi ahli Sunnah (Ahlil Sunnah wal Jamaah), kita harus tentang,” kata Ulama Umno, Fathul Bari kepada The Malaysian Insider sebelum ini.

Katanya, puak Syiah sekarang adalah penggerak untuk menjatuhkan kerajaan Sunnah di Timur Tengah dan tidak mustahil pengaruhnya akan sampai ke Malaysia.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.