Bahasa

Pesawat MAS masih hilang, laporan terhempas belum disahkan, kata Hishammuddin

Beberapa ahli keluarga penumpang penerbangan MAS MH370 berada di KLIA menunggu maklumat pesawat tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 8 Mac, 2014.Beberapa ahli keluarga penumpang penerbangan MAS MH370 berada di KLIA menunggu maklumat pesawat tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 8 Mac, 2014.Laporan mengatakan pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas di perairan pulau Tho Chu island, Vietnam belum disahkan, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata sebarang spekulasi perlu disahkan kesahihan terlebih dahulu.

"Tolong jangan buat spekulasi tentang nasib MH370 kerana semua dakwaan dan tanggapan ini perlu disahkan dahulu," kata Hishammuddin dalam sidang media di Sama-Sama Hotel, Sepang hari ini.

Hishammuddin juga mengarahkan pihak Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menyemak mengenai khabar angin yang dikatakan datang daripada tentera laut Vietnam," katanya.

Kedudukan terakhir MH370 sebelum hilang daripada radar adalah 065515 utara (longitude) dan 1033443 timur (latitude).

Usaha mencari dan menyelamat tertumpu di lokasi terbabit untuk mengesan peswat tersebut, bagaimanapun ketika ini masih buntu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata semua sumber angkatan tentera Malaysia dikerah ke lokasi pesawat hilang tersebut.

Selain itu, Hishammuddin memberitahu pesawat Hercules C-130 diarahkan untuk membantu usaha mencari tersebut.

Pihak askar juga menghantar kapal laut dan helikopter untuk membantu operasi.

"Saya telah berbincang dengan anggota senior angkatan tentera pagi ini dan mengarahkan semua sumber dikerahkan dalam operasi ini," kata Hishammuddin.

Selain itu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilantik sebagai individu bertanggungjawab mengendalikan segala maklumat kepada pihak media.

"Taklimat media akan diadakan setiap dua jam kepada media bagi memberikan maklumat terkini.

"Kami akan cuba jadi setelus mungkin," kata Hishammuddin.

Hishammuddin juga mengesahkan setakat ini masih belum ditemui sebarang tanda bangkai pesawat atau menerima laporan mengenai perkara tersebut.

"Tiada sebarang maklumat mengenai penglibatan pengganas dalam kehilangan MH370.

"Bagaimanapun kami tidak menolak sebarang kemungkinan."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya memperbetulkan laporan awal mengenai lima warganegara India dalam pesawat MH370.

"Sebelum ini dilaporkan 12 warganegara Indonesia berada dalam pesawat.

"Sebenarnya tujuh warganegara Indonesia dan lima warganegara India," kata Ahmad Jauhari.

Ahmad Jauhari juga berkata setakat ini 80% keluarga penumpang dan anak kapal MH370 berjaya dihubungi.

Beliau juga mendedahkan MAS menghantar pasukan ke Beijing untuk memberikan bantuan dan keselesaan kepada ahli kekuarga di sana.

Ahmad Jauhari berkata penerbangan MAS yang lain diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Pesawat yang membawa keseluruhan 239 penumpang dan anak kapal – meliputi 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal.

Para penumpang terdiri daripada 14 warganegara berbeza, kata MAS dalam kenyataan.

Perhubungan radar dengan pesawat MAS MH370 yang hilang pagi ini terputus di udara yang dikawal Vietnam awal pagi ini.

Pihak berkuasa telah mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat yang menghala ke Beijing tersebut.

MAS berkata penerbangan MH370 terputus hubungan dengan Menara Kawalan Udara Subang pada jam 2.40 pagi tadi.

Pesawat B777-200 meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.31 pagi dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi. – 8 Mac, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.