Bahasa

Pilih tempat perhimpunan tanpa perbincangan bukti Pakatan ‘angkuh’, kata Rais

Oleh Ida Lim
January 06, 2013
Latest Update: January 07, 2013 05:05 pm

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Tanpa perbincangan dengan polis dan pihak berkuasa stadium dan memilih Stadium Merdeka sebagai tapak perhimpunan pada 12 Januari menunjukkan ‘keangkuhan’ Pakatan Rakyat (PR), kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Penganjur "Hari Kebangkitan Rakyat" berharap dapat menarik satu juta peserta perhimpunan untuk ke stadium bersejarah itu untuk membantah beberapa isu, tetapi penggunaan stadium itu masih belum diluluskan.

"Mana-mana pihak, sama ada dari PAS atau parti pembangkang atau mana-mana badan bukan kerajaan, tidak boleh memaksa memilih venue yang hendak mereka buat tunjuk perasaan," Rais (gambar) berkata, dan menyatakan bahawa ini adalah mengikut semangat dan kandungan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Beliau berkata pembangkang harus “berunding” dengan polis terlebih dahulu sebelum mereka menentukan tempat perhimpunan. 

“Ini menunjukkan keangkuhan dan membelakangi undang-undang tanah air,” beliau berkata dalam satu sidang akhbar di sini. 

Beliau berkata bahawa penganjur perhimpunan sepatutnya menimbangkan keselamatan kanak-kanak dan orang yang berada dalam kawasan tempat perhimpunan. 

Menteri itu meminta PR meneliti akta PAA dari sudut kepentingan tanah air dan kepentingan pihak yang memiliki hak kepada premis. 

Beliau berkata perhimpunan itu boleh diadakan di Stadium Merdeka sekiranya pihak polis dan pihak pengurusan stadium memberi kelulusan.

Rais berkata kawasan tersebut mungkin tidak sesuai untuk perhimpunan yang sebesar itu. Beliau menasihati Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menurut beliau mempunyai latar belakang agama dan menyayangi Islam, untuk menghormati undang-undang negara ini.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah dihalang dari menggunakan Stadium Merdeka pada perhimpunan 9 Julai 2011, tetapi mereka diberi tawaran untuk menggunakan stadium bersejarah tersebut pada 28 April tahun lalu untuk perhimpunan kali ketiga, tetapi kumpulan tersebut memilih Dataran Merdeka sebagai tempat berkumpul.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi