Bahasa

Pilihan raya kecil sejak Mac 2008 hampir atasi rekod 1987-90

Oleh G Manimaran
January 21, 2011
Latest Update: January 21, 2011 11:33 pm

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Sebanyak 15 pilihan raya kecil yang disaksikan sejak 8 Mac 2008 menghampiri jumlah pilihan raya kecil kecil yang berlangsung antara tahun 1987 dan 1990 tetapi masih kurang dua berbanding angka sepanjang tempoh 1995-1999.

Negara menyaksikan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ketujuh dan tiga bulan sebelum pilihan raya umum kelapan pada November 1990.

Malah, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan antara tempoh selepas pilihan raya umum 1990 menjelang pilihan raya umum April 1995.

Pun begitu negara pernah berhadapan dengan 17 pilihan raya kecil – jumlah tertinggi sejak awal 1980-an – yang diadakan sepanjang tempoh selepas pilihan raya umum 1995 dan sebelum pilihan raya umum 1999.

Daripada 17 pilihan raya kecil itu, tiga adalah pilihan raya kecil negeri Sarawak yang lazimnya mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan.

Kini, negara bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya kecil kali ke-15 iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka ekoran kematian wakil rakyatnya semalam.

Penyandang kerusi itu meninggal dunia dua hari sebelum penamaan calon pilihan raya kecil ke-14 – kerusi DUN Tenang, Johor – berlangsung di Labis, esok.

Dua hari lalu, DUN Selangor mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang pula kosong.

“Adalah jelas kerusi DUN Merlimau akan diadakan pilihan raya kecil sebab ia kosong kerana kematian penyandangnya dan SPR akan mengambil tindakan susulan selepas menerima notis daripada spekaer.

“Dalam kes Pelabuhan Klang, sehingga pagi tadi, saya belum mendapat maklumat sebab saya ada di Labis,” kata timbalan pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi.

Katanya, kekosongan kerusi DUN Merlimau perlu diisi sebab kekosongan wujud sebelum lengkapnya tempoh mandat tiga tahun Parlimen dan DUN.

“Kami tidak menduga begitu banyak pilihan raya kecil akan diadakan, tetapi kami juga tidak terkejut kerana kekosongan boleh wujud disebabkan banyak sebab, antaranya kematian, wakil rakyat letak jawatan, hilang kelayakan dan sebagainya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Kerusi Pelabuhan Klang diumumkan kosong oleh speaker DUN Selangor atas alasan wakil rakyatnya Badrul Hisham Abdullah tidak menghadiri sidang selama enam bulan.

Wakil rakyat itu mahu membawa kes itu mahkamah dan jika ia didengar mahkamah kemungkinan pilihan raya kecil tidak akan diadakan bagi kerusi itu.

Kemungkinan itu diambil kira memandangkan kes rayuan kerusi DUN Kota Seputeh, Kedah yang dibawa akhir 2009 masih di peringkat rayuan.

Status kerusi Parlimen Batu juga menunggu rayuan di mahkamah.

Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud ketika tinggal dua tahun lagi mandat semasa berakhir.

Awal tahun lalu SPR memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil membabitkan tiga kerusi DUN di Perak walaupun speaker memutuskan sebaliknya.

Jika kerusi-kerusi berkenaan menyaksikan pilihan raya kecil jumlahnya dilihat paling banyak dalam sejarah negara ini.

Sebanyak 15 kerusi yang menyaksikan pilihan raya kecil antara 1987 dan 1990 ialah bahagian Parlimen Lubok Antu di Sarawak, Limbawang, Sabah (Parlimen), Gopeng (Parlimen), Bukit Tuku, Kelantan (DUN), Tanjong Puteri (Parlimen), Parit Raja (Parlimen), Ampang Jaya (Parlimen), Bentung (Parlimen), Teluk Pasu, Terengganu (DU), Tambatan, Johor (DUN), Teruntum, Pahang (DUN), Sungai Besar, Selangor (DUN) Pantai Merdeka, Kedah (DUN), Kuala Linggi, Melaka (DUN) dan Kijal, Terengganu (DUN).

Pilihan raya kecil Lubok Antu diadakan pada April 1987 selepas pilihan raya umum 1986, pilihan raya umum yang kedua di bawah era kepimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad manakala pilihan raya kecil terakhir sebelum pilihan raya umum 1990 iaitu kerusi DUN Kijal pada 1 Ogos 1990.

Pilihan raya kecil yang diadakan antara 1990 dan 1994 ialah Sipitang, Sabah (DUN), Jerai, Kedah (Parlimen), Bayu, Kedah (DUN), Usukan, Sabah (Parlimen), Prai, Pulau Pinang (DUN), Limbongan, Kelantan (DUN), Sg Pinang, Kelantan (DUN), Serkam, Melaka (DUN), Jerlun, Kedah (DUN), Bukit Payung, Terengganu (DUN), Batu Talam, Pahang (DUN), Kg Raja, Terengganu (DUN), Sementa, Selangor (DUN), Lundang, Kelantan (DUN) dan Shahbandar Raya, Selangor (DUN) dan Sri Tanjong, Sabah (DUN).

Bagaimanapun jumlah pilihan raya kecil menurun mendadak dengan hanya lapan antara 1999 dan sebelum pilihan raya umum 2004.

Enam pilihan raya kecil diadakan antara 2004 dan 2008 iaitu setahun sebelum pilihan raya umum ke-12.

Jumlah pilihan raya kecil naik mendadak selepas pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Daripada 15 pilihan raya kecil sejak Mac 2008 termasuk Tenang bulan ini dan Merlimau kemungkinan akhir bulan depan, 12 kekosongan adalah disebabkan kematian iaitu kerusi Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Sibu, Galas, Batu Sapi, Tenang dan yang terbaru Merlimau.

Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti menyaksikan pilihan raya kecil disebabkan wakil rakyatnya, dari PKR, meletakkan jawatan.

Mengikut undang-undang pilihan raya negara, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan ketika mandat semasa hanya tinggal dua tahun dari tarikh persidangan pertama Parlimen atau DUN, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akhir bulan lalu.

“Di peringkat Parlimen, sidang pertama Dewan Rakyat adalah 21 April 2008, jadi kita ada masa untuk mengadakan pilihan raya kecil sehingga 20 April, jika berlaku kekosongan pada atau sebelum 20 April, kita perlu adakan pilihan raya kecil.

“Dan, di peringkat negeri, ia bergantung pada tarikh pertama sidang DUN, tetapi saya tidak pasti tarikh yang tepat, tetapi saya rasa dalam lingkungan April dan Mei,” kata beliau.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi