KUALA LUMPUR, 7 Okt - Sambil kecewa dengan kenyataan dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mendakwa Malaysia tidak perlu kesatuan sekerja dan mahu pindaan Akta Kerja dibahas dengan cepat, sebuah gabungan menegaskan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) harus dipersalahkan kerana rang undang-undang itu diluluskan meskipun diprotes.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (RUM) Abdul Razak Md Hassan berkata, punca kelemahan menghalang pindaan Akta Kerja 1955 datang daripada MTUC, yang tidak memainkan peranan sebenar dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan.
“Punca kelemahan adalah datangnya dari MTUC, kita tidak boleh menafikan,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
“Kita sebenarnya terlewat, kita bagai hilang punca untuk mencari satu pendekatan bagaimana nak menyelesaikan isu ini.
“Kita ibarat hilang strategi, kita hanya bergantung pada satu unsur sehingga bila kita lakukan, maka ia akan dipandang serong. Satu unsur yang digunakan atau menggunakan untuk kepentingan sesuatu, walaupun kita tidak boleh menyalahkan pemimpin-pemimpin kesatuan yang menggunakan ke arah itu, tapi itu mungkin pada satu anggapan bahawa ia adalah cara terbaik,” kata beliau.
Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011, yang dihimpit kontroversi dan mendapat tentangan hebat daripada ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan MTUC sendiri, akhirnya diluluskan selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.
Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam. Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.
Razak berkata kesatuannya kecewa apabila dimaklumkan ada wakil rakyat dari BN mengemukakan pandangan bahawa kesatuan sekerja tidak perlu ada di negara ini.
Dalam pada itu, katanya, seorang lagi ahli Parlimen dari BN juga “memang hebat telah melahirkan kenyataan ‘malam ini malam Jumaat... cepatlah habiskan perbahasan’.”
“Tak sabar-sabar nak habiskan perdebatan, bagus yang YB, inilah kenyataan yang bijak kalau nak cepat habiskan perdebatan, biarpun perkara yang dibangkitkan adalah untuk kepentingan kaum pekerja,” kata Razak yang pada pemilihan MTUC Disember lalu bertanding jawatan setiausaha agung tetapi tewas.
Kata beliau, RUM sedar bahawa rang undang-undang yang dibawa datang daripada Kementerian Sumber Manusia dan oleh itu, apa sahaja yang dibentangkan akan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen pihak pemerintah.
“... suara majoriti sudah pasti menang apa saja yang dibentangkan oleh wakil kerajaan, walaupun ada asas atau memberi peluang kepada pihak pekerja duduk berbincang menilai dan mengkaji balik pindaan berkenaan,” kata pemimpin itu.
Sehubungan itu tegas Razak, kepimpinan MTUC harus sedar bahawa tanggungjawab kepimpinan adalah satu amanah yang amat berat kepada seluruh pekerja di negara ini.
Oleh itu, katanya, sebagai pemimpin mereka perlu bijak menyusun langkah dan hubungan memainkan peranan penting kerana “hubungan juga adalah satu penyelesaian.”
“Tetapi apakah kita menggunakan hubungan itu sebaik mungkin... cerita pindaan ini adalah cerita lama, maka ia bukan sesuatu yang baru, untuk dicari jalan penyelesaian.
“Ada pihak yang sengaja membiarkan, ada pihak yang bersungguh-sungguh membentangkan, ada pihak yang bercita-cita nak dapat nama, ada pihak yang menjaga kepentingan diri, ada pihak untuk menunjukan beliau antara yang hebat mampu menonjolkan diri, maka macam-macam warna ada dalam MTUC yang menjadikan MTUC hilang arah,” katanya lagi.
Sehubungan itu kata Razak lagi, pemimpin-pemimpin MTUC perlu bertanya sendiri apakah badan induk tidak melakukan kesilapan dan “tanya kepada diri adakah semua kepimpinan kesatuan bersatu.”
“Tanya kepada diri, adakah di sebalik perancangan adakah dalang yang memainkan peranan, tanya kepada diri apakah sebenarnya pendirian kita sebagai pemimpin kesatuan sekerja, tanya kepada diri apakah matlamat kita... jawablah dengan ikhlas,” katanya lagi.
“Benar, dalam diri sememangnya amat kecewa, dalam diri sebenarnya amat marah, bila rang undang-undang pindaan yang dibentangkan telah diluluskan, kecewa tidak boleh digambarkan, tetapi sentiasa berfikiran waras, menilai di mana kesilapan diri, menilai di mana kesilapan startegi, meletakkan kesalahan memang mudah tapi salahkah kita menunding jari?
“Sedangkan nyata kelemahan itu ada, apa yg perlu dilakukan? Oh... jujur sama sekali tidak degan politik, itu ketegasan dalam pendirian, sama sekali tidak memainkan isu utk menggunakan politik sebagai tapak perjuangan, dalam fikiran belum terlintas lagi, senang mengolah langkah dengan tidak menggunakan politik, senang bergerak menyusun strategi dengan tidak menggunakan politik, biarlah rakan-rakan seperjuangan yang menggunakan strategi itu, kerana mudah dan senang pada RUM untuk menyelesaikan isu tanpa pengelibatan politik,” katanya lagi.






