Bahasa

PKIPM dakwa Majlis Profesor ‘iktiraf’ British, mahu kenyataan ditarik balik

Oleh G Manimaran
September 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKIPM) menggesa Majlis Profesor Negara (MPN) menarik balik kenyataan pihaknya minggu lalu bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British dan ia seolah-olah mengiktiraf kehadiran kuasa itu di Tanah Melayu.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya berpandangan kenyataan akhbar MPN itu tidak boleh dipandang sebagai bernilai ilmiah dan wajar ditarik balik.

“Amatlah malang bagi negara ini sekiranya para ilmuwan kita gagal memahami metod penelitian sejarah secara objektif dan ilmiah.

“Sesuatu fakta sejarah haruslah melalui proses-proses penelitian seperti heuristik, verifikasi, interprestasi dan historiografi sepertimana lazimnya dilaksanakan oleh para ilmuwan dan pengkaji sejarah yang berwibawa,” kata beliau sambil menambah, “justeru, mewakili golongan pelajar dan mahasiswa di Malaysia, PKPIM menuntut MPN untuk menarik balik kenyataan yang mengelirukan ini.”

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ahmad Fahmi berkata, PKPIM juga meminta semua pihak termasuklah ahli politik supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang melibatkan fakta dan sejarah.

“Dalam kemeriahan semua pihak untuk menjuarai isu membincangkan tema sejarah tanah air yang pada dasarnya dilihat amat positif dalam proses pemahaman asas-asas kenegaraan, mereka juga harus bertanggungjawab di atas kenyataan yang dikeluarkan sekiranya menimbulkan keraguaan dan kekeliruan kepada masyarakat.

“Justeru, PKPIM mengingatkan kepada mereka yang berkenaan agar merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang pakar dan berdasarkan sumber yang sahih dan tidak mengeluarkan kenyataan melulu dan songsang yang boleh menimbulkan polemik dan masalah runcitan,” katanya lagi.

Ahmad Fahmi menambah, PKPIM mempersoalkan kesimpulan MPN menerusi kenyataan akhbarnya tentang Tanah Melayu yang tidak pernah dijajah oleh British.

Kenyataan akhbar tersebut dibuat oleh Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudanya, Prof. Datuk Zainal Kling pada sidang akhbar bersama Pengerusi MPN, Prof Emiritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan anggota-anggota jawatankuasa MPN pada 9 September lalu.

“Majlis Profesor Negara menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, hanya dilindungi Inggeris dengan meletakkan negeri-negeri Melayu itu di bawah kekuasaan Pejabat Tanah Jajahan melalui penguasaan undang-undang Inggeris, pentadbiran bercorak Inggeris, dan ekonomi kapitalis cara Inggeris.

“Dalam kata lain, MPN berkesimpulan bahawa dasar ‘protectorate’ yang diamalkan Inggeris terhadap Tanah Melayu dengan meletakkan residen dan penasihat di negeri-negeri Melayu sebagai satu tujuan murni untuk melindungi dan membantu Tanah Melayu dan pemerintah Melayu untuk memerintah tanah air mereka,” kata beliau lagi.

Ahmad Fahmi menambah, PKPIM juga mempersoalkan kenyataan MPN yang mendakwa dasar ‘protectorate’ Inggeris sebagai tidak mencabuli kedaulatan negeri-negeri Tanah Melayu.

Jelas beliau, PKPIM merasakan kenyataan MPN sebagai keliru dan tidak objektif apabila majlis itu dilihat gagal memberi tafsiran yang lengkap dan memuaskan tentang konsep “kedaulatan negara.”

“Ini jelas dalam kenyataannya yang mendakwa bahawa walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain, tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara.

“Malah, tesis baru MPN ini kelihatan seolah-olah mengiktiraf kerajaan kolonial Inggeris sebagai wira pelindung Tanah Melayu dan menafikan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan tanah air sendiri daripada kerajaan kolonial Inggeris yang memang dikenali dunia sebagai antara kuasa besar penjajah ketika itu,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, PKPIM sangat bersetuju dengan Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan dalam karya ilmiah terbaru beliau berjudul “Historical Fact and Fiction” bahawa fakta sejarah seharusnya diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira nilai-nilai dan saling kaitan antara fakta sejarah sehingga membentuk satu rangkaian kesimpulan yang bermakna.

“PKPIM juga meyakini seseorang sejarawan bukan sekadar mampu mengutip fakta-fakta sejarah tetapi juga harus punya kekuatan akliyah bagi mentafsir bahan sejarah dengan mendalam dan tepat.

“PKPIM berpandangan kenyataan akhbar yang dibuat MPN itu tidak boleh dipandang sebagai bernilai ilmiah. Amatlah malang bagi negara ini sekiranya para ilmuwan kita gagal memahami metod penelitian sejarah secara objektif dan ilmiah,” kata beliau yang turut menegaskan bahawa, “sesuatu fakta sejarah haruslah melalui proses-proses penelitian seperti heuristik, verifikasi, interprestasi dan historiografi sepertimana lazimnya dilaksanakan oleh para ilmuwan dan pengkaji sejarah yang berwibawa.”

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi