Bahasa

PKR akan kemuka bukti Umno dalang keganasan di Lembah Pantai

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 26, 2012

KUALA LUMPUR, 26 Mei — PKR akan mengemukakan bukti ahli Umno adalah dalang disebalik keganasan yang berlaku di ceramah pembangkang di Lembah Pantai Khamis lalu.

Pemimpin Umno hari ini menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan provokasi ketika ceramah tersebut dan beliau perlu bertanggungjawab terhadap insiden keganasan tersebut.

Anwar telah memanggil pemuda Umno di lokasi ceramah Umno yang berjarak 100 meter dengan panggilan “sial” dan “celaka” sejurus kemudian ceramah PKR diserang menggunakan batu, telur, dan botol air.”

“Kami ada bukti, video menunjukkan Umno memulakan serangan terhadap rakyat dan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah disebabkan perkara itu,” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan kenyataan itu dibuat selepas ceramah PKR diserang menggunakan batu, telur, dan botol air.

Tambahnya, PKR juga akan membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Pemuda Umno bahagian Datuk Mohamad Sazali Kamilan dan Ketua Penerangan Umno Bahagian Datuk Ibrahim Thamby Chik.

“Kenyataan wakil Raja Nong Chik adalah pengakuan kesalahan yang mereka lakukan ... dan ketiga-tiga mereka akan bertanggungjawab terhadap kenyataan tersebut,” kata peminpin PKR itu.

Namun, pemimpin Umno Lembah Pantai hari ini menafikan tuduhan PKR sebaliknya mengatakan pembangkang sengaja “membesar-besarkan” cerita pada malam itu.

“Pada malam itu, ahli kami sendiri (Umno) turut cedera,” kata Ketua Pemuda Umno Lembah Pantai Datuk Mohamad Sazali Kamilan. “Provokasi itu dimulakan oleh Anwar, yang memanggil Umno (Lembah Pantai) sebagai ‘sial, celaka’.

“Kamu perlu faham, apabila di provok ... macam-macam perkara boleh berlaku.”

Anwar dipercayai mengeluarkan kenyataan itu kepada pemuda Umno yang hanya berjarak kira-kira 100 meter daripada ceramah Umno di lokasi sama.

“Kami nafi pemuda Umno bertindak ganas pada malam itu,” kata Ibrahim.

“Kita tak boleh menuduh sesiapa ... ada ramai orang ... siapa baling siapa bukan kita tahu. Kami tak mahu menuduh.”

Tambah beliau kenyataan biadap Anwar “yang tidak diundang” itu menjadikan ceramah yang aman sebelum Anwar menyerang pemuda Umno menggunakan perkataan kesat terbabit.

“Mereka memang pandai memanipulasi dan membesar-besarkan cerita ... apa yang mereka buat adalah manifestasi masyarakat Lembah Pantai yang telah menolak Anwar dan PKR.

“Akar Umbi Umno di Lembah Pantai stabil. Sudah tentu mereka (PKR) rasa tercabar,” tambahnya.

Sazali berkata seorang ahli Umno turut cedera dibaling batu dan mengenal pasti mangsa sebagai Muhd Saiful Bukhari.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengutuk insiden tersebut dan menafikan telah memberi arahan kepada pemuda untuk mengganggu ceramah PKR.

Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai selepas memenangi kerusi itu daripada Ketua Wanita  Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Nurul Izzah dijangka akan bertanding dan kali ini berhadapan dengan Raja Nong Chik dalam pilihan raya akan datang.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi