Bahasa

PKR cabar BN gugur calon rasuah dalam PRU13

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
March 12, 2013

PETALING JAYA, 12 Mac — PKR hari ini mencabar Barisan Nasional (BN) supaya menggugurkan beberapa calon mereka yang terlibat dengan gejala rasuah daripada bertanding pilihan raya umum ke-13 (PRU13) demi menjaga air muka mereka, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi PKR itu menegaskan, walaupun beberapa pemimpin BN itu tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya mengambil inisiatif tidak meletakkan mereka sebagai calon bagi membuktikan keikhlasan beliau melaksanakan slogan politik bebas rasuah.

“Jika Najib benar-benar jujur untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh diterima rakyat, maka beliau harus memberi komitmen untuk ‘menggugurkan’ pemimpin Umno ini dari menjadi calon dalam pilihan raya akan datang ... bukan sekadar menghantar nama untuk disemak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” kata Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Antara nama yang dikemukan Rafizi sebagai calon yang terpalit dengan tuduhan dan siasatan SPRM bersabit rasuah adalah Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz; dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Antara nama lain adalah Ketua Menteri Sarawak Tan Seri Abdul Taib Mahmud (gambar); Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin; dan juga Menteri Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal.

“Jika Umno tidak bersedia untuk menggugurkan pimpinan ini terbukti bahawa Umno tidak serius meletakkan calon bersih dan boleh menang seperti disebut-sebut Najib sendiri,” kata Rafizi kepada pemberita.

Rafizi juga menegaskan, gejala rasuah sememangnya wujud dalam pengurusan balak di Terengganu apabila SPRM mengarahkan siasatan dijalankan, dan badan penguatkuasa anti rasuah itu mengarahkan fail dibuka bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau turut mengemukakan dokumen rasmi yang mengesahkan kes itu telah disiasat SPRM serta salinan resit cek yang berupa bayaran yang “terpaksa dibuat syarikat menjadi mangsa membayar deposit bernilai RM1 juta kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.”

“Sehingga sekarang tidak ada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian-perjanjian yabg ditandangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan balak di Terengganu,” dakwa Rafizi.

Rafizi pada 26 Februari lalu mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, menjawab berhubung isu skandal penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan balak di negeri itu.

Beliau mendedahkan modus operandi wang rasuah bersabit balak di Terengganu, yang melibatkan 12 syarikat pembalakan yang dipaksa memeterai satu perjanjian pembelian saham dengan proksi untuk membeli sebuah syarikat bernilai RM2.

Menurut Rafizi, syarikat itu dijual dengan harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

Menurut Rafizi, pada 17 Julai tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Pihaknya juga jelas Rafizi berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit dengan urusniaga pembelian saham, dimana satu perjanjian dikeluarkan kerajaan Terengganu agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli Berkat Seribumi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi