Bahasa

PKR : Campurtangan Najib bercanggah keputusan jawatankuasa perolehan MoF

PETALING JAYA, 27 Jun — PKR hari ini mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melanggar keputusan awal Jawatankuasa Perolehan (JPMK) Kementerian Kewangan (MoF) apabila mencampuri urusan pemberian tender projek sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion kepada George Kent Bhd.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam pendedahan terbaru berhubung projek tersebut mendakwa, penganugerahan tender tersebut kepada George Kent Bhd adalah bertentangan dengan persetujuan yang dibuat oleh JPMK dalam satu minit mesyuarat dan turut ditandatangani Najib, selaku Menteri Kewangan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Dokumen berkenaan turut diedarkan kepada pemberita ketika sidang media tersebut berlangsung.

"Dalam minit keputusan mesyuarat ini tidak dinyatakan langsung nama George Kent, dan Najib sendiri telah menandatangani persetujuan dalam minit tersebut untuk melantik Balfour Beatty-Invensys Consortium sebagai kontraktor untuk projek tersebut.

"Kalau beliau telah bersetuju, kenapa secara tiba-tiba berubah fikiran?" soal Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Menurut Rafizi, perkara itu telah menimbulkan persoalan dan beliau turut menantikan jawapan segera daripada perdana menteri itu.

Sebelum ini, The Malaysian Insider telah melaporkan PKR mempersoalkan laporan akhbar Business Times yang mengatakan George Kent Bhd akan memenangi bidaan tersebut dengan kontrak bernilai RM960 juta.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang turut hadir dalam sidang media hari ini berkata, syarikat itu sebenarnya meletakkan harga yang lebih tinggi berbanding kedua-dua syarikat iaitu PDA Consortium yang mana bidaan mereka telah ditolak oleh Prasarana dan telah memilih Balfour Beatty-Invensys Consortium dengan kos sebanyak RM1.103 bilion.

Rafizi juga mempersoalkan tindakan George Kent yang dilihat begitu yakin akan memenangi projek tersebut sedangkan keputusan mesyuarat kelulusan kontrak tersebut telah pun dikeluarkan seawal 25 Januari lalu,

Beliau juga menuntut Najib untuk memberikan penjelasan berhubung campurtangan beliau dalam projek tersebut yang telah pun dipersetujuinya, dan juga memberikan penjelasan sama ada wujudnya unsur rasuah dalam penganugerahan tender tersebut.

"Najib perlu menafikan bahawa beliau menandatangani kertas keputusan JPMK jika dokumen yang saya serahkan ini palsu," kata Rafizi lagi.

"Keadilan masih menunggu maklum balas Najib, dan jika tidak, akan berlaku lebih banyak pendedahan dokumen berkenaan projek ini akan dikeluarkan."

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan, PKR akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat, 29 Jun ini, kerana menurutnya, "campurtangan Najib itu telah pun melanggar etika pentadbiran telus dan berbaur penyelewengan kuasa."

Business Times sebelum ini melaporkan melalui sumber mereka, pembida yang berjaya akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat berkenaan projek sambungan LRT tersebut.

Lapan kumpulan dipercayai telah membuat bidaan dalam projek berkenaan yang mana telah ditutup pada 16 Jun tahun lalu.

Laporan pertama Business Times bahawa George Kent berkemungkinan bidaan tersebut pada Julai tahun lalu.

Projek kendalian Prasarana, anak syarikat penuh milik Kementerian Kewangan telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi projek berkenaan.

Prasarana turut telah membelanjakan hampir RM7 bilion untuk penyambungan kedua-dua aliran Kelana jaya dan LRT Ampang.

Aliran Ampang akan ditambah kepada 17.7km.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.