Bahasa

PKR dakwa Umno guna insiden Lahad Datu sebagai modal politik kebencian

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
March 12, 2013

PETALING JAYA, 12 Mac — Umno dan Barisan Nasional (BN) didakwa mengambil kesempatan terhadap insiden pencerobohan militan Filipina di Lahad Datu, Sabah sebagai modal politik bagi menimbulkan kebencian terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa PKR.

Pengarah Strategi Rafizi Ramli (gambar) berkata Umno dan BN memainkan politik kebencian dan menggunakan insiden di Lahad Datu sebagai alasan untuk mengancam keselamatan pimpinan PKR melalui siri kegansan berterusan.

Rafizi ketika sidang media berhubung insiden serangan oleh perusuh yang didakwanya sebagai ahli Umno di Ibu Pejabat PKR semalam turut menyuarakan rasa kesal kerana anggota polis yang berada berhampiran dengan premis itu hanya mendiamkan diri tanpa berbuat apa-apa bagi menghalang perusuh berkenaan yang membaling telur, kayu, dan kon lalu lintas ke arah pejabat mereka.

“Ketika kejadian, tidak ada seorang anggota polis pun yang campur tangan untuk menghentikan perlakuan ganas yang melanggar undang-undang ... sangatlah memalukan apabila Balai Polis Tropicana hanyalah terletak dua pintu dari ibu pejabat PKR dan anggota polis hanya berpeluk tubuh sahaja,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibupejabat PKR di sini.

Beliau juga turut tidak menolak insiden keganasan seperti itu digunakan bagi memastikan Anwar ditahan dan didakwa di bawah undang-undang keselamatan.

“Malah, saya tidak menolak kemungkinan politik kebencian atas kesempatan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu mungkin digunakan oleh anasir tertentu di dalam Umno untuk memastikan Anwar sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah undang-undang keselamatan,” tegasnya.

 

Rafizi juga menggesa agar pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil berat terhadap kejadian-kejadian keganasan politik yang semakin meningkat serta mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat dan menjadi dalang.

“Pimpinan tertinggi PDRM juga wajib menolak sebarang anasir yang cuba mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad Datu untuk menekan lawan politik seperti yang berlaku sekarang,” kata Rafizi.

Dalam kejadian semalam, sekumpulan lelaki didakwa melempar sekitar 200 biji telur ke arah pejabat PKR di Merchant Square, di sini selain kon jalan, dan juga kayu.

Insiden itu turut mengakibatkan kakitangan pejabat tersebut, S. Balakumaran cedera di leher akibat terkena kayu, serta dibaling telur dan batu di dadanya.

Rafizi ketika sidang media turut menunjukkan gambar beberapa peserta tunjuk perasaan itu memakai baju BN, dan mendakwa mereka adalah ahli Umno dan pernah kelihatan menghadiri beberapa program anjuran parti politik Melayu terbesar itu.

Turut ditayangkan ketika sidang media adalah gambar lambang PKR yang pecah akibat terkena balingan batu serta bendera PKR yang terbakar.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi