Bahasa

PKR gesa penganjur perlumbaan drag bertanggungjawab insiden kemalangan

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 28, 2012

PUTRAJAYA, 28 Mei — PKR hari ini menggesa penganjur perlumbaan kereta drag sempena sambutan hari belia di sini hujung minggu lalu bertanggungjawab terhadap kemalangan yang menimpa penonton sewaktu perlumbaan itu berlangsung malam Sabtu lalu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga berkata, pihaknya menggesa siasatan segera dijalankan kerana berdasarkan pengakuan saksi, penganjur dilihat tidak menitik beratkan aspek keselamatan semasa menganjurkan perlumbaan apabila hanya menggunakan pasu bunga sebagai pemisah antara pelumba dan penonton.

“Kita melihat insiden ini sangat serius apabila melibatkan kecederaan sebegini.

“Kami mahu siasatan dijalankan kerana berdasarkan pengakuan saksi, tiada pagar yang memisahkan penonton dan pelumba dan ini menimbulkan persoalan bagaiman perlumbaan itu boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang cedera di Hospital Putrajaya di sini.

Bersependapat dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Naib Presiden PKR, N.Surendran turut menyelar penganjur yang menjadikan pasu bunga sebagai penghadang dalam perlumbaan tersebut.

“Ini adalah kesalahan undang-undang yang serius. kita tidak boleh gunakan pasu bunga sebagai benteng untuk perlumbaan.

“Ini dikira sebagai kecuaian,” tegasnya lagi.

Dalam insiden tersebut, 17 mangsa yang kebanyakan penonton perlumbaan drag cedera selepas salah sebuah kereta yang sedang diuji mengalami kerosakan tayar belakang lalu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penonton yang berada di tebing pembahagi jalan di Lebuh Wadi Ehsan, Presint 19 di sini.

Daripada jumlah itu, dua daripada mereka, iaitu Mohd Iskandar Rasiq Shaari,19, dan Muhammad Fairuz Jalaluddin 26, masih lagi berada di wad kecemasan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Manakala Ami Nakim, 27, sedang menjalani pembedahan hari ini akibat daripada patah dua kaki, dan tangan kiri.

Daripada video yang ditunjukkan, penonton yang hadir di perlumbaan tersebut hanya dipisahkan oleh deretan pasu bunga di kawasan pembahagi jalan.

Sehubungan itu, Surendran juga berkata, PKR bersedia menyediakan bantuan khidmat guaman kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan tersebut.

“Kita menawarkan perkhidmatan guaman kepada mangsa yang memerlukan. Penonton tidak boleh dipersalahkan, mereka tidak bersalah, penganjur yang perlu bertanggungjawab dalam perkara ini,” tambahnya lagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah malam pada sesi pandu uji dengan kehadiran lebih kurang 10,000 penonton hadir untuk menonton perlumbaan itu.

Perlumbaan drag itu adalah salah satu aktiviti sempena Hari Belia Negara dan Himpunan Jutaan Belia 2012 anjuran Persatuan Permotoran MUSC Motorsport.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi