Bahasa

PKR gesa pihak berkuasa dedahkan jika militan Sulu datang dari ‘Projek IC’

Oleh Nomy Nozwir
March 21, 2013

KUALA LUMPUR, 21 Mac — PKR hari ini mahu kerajaan mendedahkan perkara sebenar jika militan Sulu yang cuba menawan Sabah 9 Februari lalu datang dari rancangan “Projek IC”, iaitu pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebagai pertukaran untuk undi.

Kesultanan Sulu menurut jurucakapnya semalam berkata Agbimuddin Kiram — adik kepada Jamalul Kiram III — yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu mengesahkan pernah bekerja sebagai pembantu pegawai daerah di Kudat, Sabah.

“Pengesahan oleh jurucakap kumpulan yang menggelarkan diri mereka Kesultanan Sulu yang dibuat di Manila bahawa Agbimudin Kiram pernah menjadi pegawai kerajaan di negeri Sabah terus menimbulkan persoalan mengenai latar belakang sebenar konflik pencerobohan di Lahad Datu,” kata Rafizi Ramli (gambar), dalam kenyataan yang diberikan hari ini.

“Pengesahan itu mengiyakan kerisauan banyak pihak bahawa kumpulan bersenjata di Lahad Datu turut melibatkan rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang memegang kad pengenalan biru.

“Perkara ini mendedahkan kemungkinan ancaman keselamatan yang timbul akibat dari tindakan pihak tertentu yang dituduh berkait dengan Tun Mahathir Mohamad memberikan kerakyatan tanpa melalui proses yang sah.”

Menurut Rafizi, pengesahan itu membayangkan banyak perkara yang masih belum dibongkarkan oleh inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing yang ditangguh kerana serangan puak bersenjata Sulu di Lahad Datu yang setakat ini mengorbankan 10 orang pasukan keselamatan Malaysia dan 62 puak bersenjata Sulu sejak konflik berlangsung.

“Apakah Agbimudin Kiram adalah rakyat Malaysia yang telah diberikan kad pengenalan biru? Berapa ramai dari kalangan penceroboh bersenjata yang mempunyai kad pengenalan biru?  Berapa ramai dari kalangan mereka yang mempunyai kad pengenalan biru mendapat kad pengenalan biru di bawah Projek IC?” kata pengarah strategi PKR itu.

“Ini adalah soalan-soalan asas yang wajib dijawab oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, memandangkan beliau seharusnya berterus terang mengenai latar belakang konflik ini dengan rakyat.”

Rafizi mencadangkan supaya pertimbangan diambil untuk memulakan serta merta prosiding RCI yang tergendala bagi memastikan semua aspek berhubung pemberian kad pengenalan di Sabah tanpa melalui proses yang sah diteliti dan dibongkar sepenuhnya.

Semalam, jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani, memberitahu media Filipina di Manila bahawa Agbimuddin pernah bekerja selaku pembantu pegawai daerah di Kudat, menyokong kenyataan PKR semalam, berdasarkan pencarian dari slip gaji kerajaan Sabah dari arkib negeri.

Idjirani bagaimanapun mengatakan Agbimuddin — adik kepada Jamalul Kiram III — sebagai warga Filipina dan tidak pernah menjadi warga Malaysia seperti didakwa PKR.

Beliau berkata keluarga Kiram, yang mahu menuntut semula hak mereka sejak abad ke-17 terhadap negeri utara Borneo yang kini menjadi milik Malaysia, tinggal di Sabah sejak pembunuhan beramai-ramai Jabidah 1968.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi