PKR gesa Umno umum calon MB sebelum bercita-cita tawan Selangor
PETALING JAYA, 21 Sept — Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencabar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk menamakan nama calon bakal Menteri Besar sebelum bercita-cita mahu menawan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor disamping juga menggesa mengumumkan tarikh pilihanraya umum ke-13.
Cabaran tersebut dilontar oleh Zuraida (gambar) bagi menjawab kenyataan Timbalan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya Umno dan BN memiliki resipi untuk menawan Selangor dalam PRU yang bakal menjelang dalam akhbar Sinar Harian pada 16 September lalu.
“Mereka mahu tawan Selangor tapi siapa bakal MB yang mereka mahu? Calon pun tiada, tapi masih mahu bercita-cita tawan kerajaan PR disini?,” kata Zuraida dalam satu majlis pelancaran Jelajah Selangor di pejabat PKR di Subang pagi tadi.
“Jika Umno mempunyai resipi untuk menang, kami mencabar Muhyiddin mendesak PM untuk mengumumkan segera PRU ke-13. Kemudiaan barulah bercakap tentang mahu menawan Selangor.”
Umno serius untuk menawan semula Selangor dan khabar angin antara dua calon mereka ialah Dato' Sri Mohd Zin Mohamed dan Datuk Seri Noh Omar tetapi hingga kini PM selaku pengerusi BN Selangor belum mengeluarkan kenyataan tentang siapa bakal MB mereka.
Zuraida juga mengingatkan Umno supaya menghentikan sandiwara gerak saraf politik dengan menyerang kerajaan PR di Selangor kerana usaha tersebut tidak akan berhasil kerana rakyat sudah matang dan dapat berfikir sendiri.
Malahan ahli parlimen Ampang turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang seperti mendahului PM kerana bertindak mengumumkan resepi tersebut tersebut dan bukannya Najib sendiri.
“Kenapa dia seperti mengambilalih Selangor daripada Najib?,” soalnya.
Pada Ahad lalu, Muhyiddin berkata “suasana” ketika ini tampak menyebelahi BN untuk mendapatkan semula Selangor tetapi kejayaan tersebut bergantung kepada ahli Umno yang perlu mengelak daripada tindakan mensabotaj parti dan bekerjasama.
Timbalan presiden Umno tersebut juga berkata sepanjang empat tahun pemerintahan Pakatan Rakyat, terdapat banyak isu dan masalah yang melanda dalam negeri tersebut yang gagal diselesaikan.
Dia juga menambah semua tempat yang dilawatinya di Selangor, orang ramai dan peniaga tempatan akan membuat keluhan terhadap pemerintahan kerajaan negeri sekarang.
PETALING JAYA, 21 Sept — Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencabar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk menamakan nama calon bakal Menteri Besar sebelum bercita-cita mahu menawan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor disamping juga menggesa mengumumkan tarikh pilihanraya umum ke-13.



