Bahasa

PKR hantar memorandum kepada SYABAS, gesa beri pampasan

Zuraida bersama kumpulannya menyerahkan memorandum kepada SYABAS. — Gambar oleh Md IzwanZuraida bersama kumpulannya menyerahkan memorandum kepada SYABAS. — Gambar oleh Md IzwanKUALA LUMPUR, 10 Jan — PKR hari ini menghantar satu memorandum kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana gagal menguruskan air di negeri tersebut serta menggesa syarikat tersebut memberikan pampasan kepada mangsa bencana.

Timbalan Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor Zuraida Kamaruddin ditemani ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta persatuan penduduk berkumpul di perkarangan ibu pejabat SYABAS, Pantai Baru pada jam 10.30 pagi  untuk menyerahkan memorandum serta mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ruslan Hassan.

“Hari ini PKR dan bersama ahli majlis MPAJ akan menyerahkan satu memorandum kepada SYABAS serta mengadakan perbincangan dengan mereka.

“Kami menyatakan enam tuntutan kepada SYABAS serta menggesa mereka mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua tuntutan ini,” kata Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang.

Dalam memorandum tersebut, PKR membuat enam tuntutan kepada SYABAS antaranya penjelasan tentang masalah sebenar rumah pam dan penjelasan mengenai kenyataan pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail mangatakan masalah air akan berlarutan hingga Februari, bentuk pelan tindakan, jaminan masalah sama tidak akan berulang, pampasan atau dana khas bencana dan menggesa SYABAS meminta maaf secara terbuka.

Zuraida dibenarkan masuk ke pejabat SYABAS pada jam 10.45 pagi.

Dalam pertemuan tersebut, Zuraida memberitahu pihak SYABAS menyatakan bahawa mereka telah mengambil langkah membuat lencongan air bagi memulihkan bekalan yang terputus di kawasan terjejas.

“Dalam pertemuan tadi, SYABAS berkata mereka telah mengambil langkah melakukan lencongan air di rumah pam Wangsa Maju.

“Pembinaan lencongan tersebut akan mengambil masa lima hari, itu kata mereka. Dengan pembinaan lencongan ini, masalah putus air akan dapat diselesaikan tetapi bukan sepenuhnya,” terang Zuraida.

SYABAS juga memberitahu mereka telah berjaya mengurangkan kes terputus bekalan air daripada 100 ribu pada 28 Disember tahun lalu kepada 28 ribu keluarga sahaja ketika ini, kata Zuraida lagi.

“Baki keluarga yang terjejas ketika ini ialah sebanyak 28 ribu. Menurut SYABAS, pam mereka hanya mampu menghasilkan 170 juta liter air sahaja ketika ini berbanding 210 juta liter asalnya,” terang beliau.

Dalam pada itu, ekoran laporan media semalam yang mengatakan krisis air di Ampang dan Cheras dijangka berlanjutan sehingga sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Zuraida berkata SYABAS akan melakukan penjadualan air untuk mengelak daripada bekalan air terputus.

“Mereka (SYABAS) berkata akan membuat penjadualan air untuk menangani isu tersebut.

“Walaupun demikian, SYABAS tidak memberikan jaminan masalah akan selesai selepas sambutan Tahun Baru Cina,” kata beliau.

Sejak dua minggu lalu, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kelewatan pembangunan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju.

Perjumpaan tersebut Zuraida dengan Ruslan dan beberapa pegawai SYABAS lain tersebut berakhir pada jam 12 tengahari.

 

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.