Bahasa

PKR kemuka saman balas kepada Shahrizat supaya NFC terus di bawa ke mahkamah

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 09, 2012

PETALING JAYA, 9 Mac — PKR hari ini mengemukakan saman balas terhadap Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) bagi memastikan perkara itu tetap dibicarakan di mahkmah.

Rafizi RamliRafizi RamliPengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, dan Ketua Wanita parti itu, Zuraida Kamaruddin, telah memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengemukakan saman balas kepada Shahrizat atas ucapan berbaur fitnah yang dilontarkan Ketua Wanita Umno itu ketika Perhimpunan Agung Umno di PWTC pada 30 November tahun lalu.

“Saman balas ini memberi ruang kepada saya untuk  memastikan kes NFC terus di bawa ke mahkamah dan dokumen penting projek berkenaan dapat didedahkan kepada umum,” katanya.

Zuraida KamaruddinZuraida KamaruddinShahrizat sebelum ini telah mengemukakan saman fitnah berjumlah RM100 juta kepada kedua-dua pemimpin PKR ini atas isu yang sama.

“Saya khuatir Shahrizat akan mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan atau menarik balik saman fitnah RM100 juta beliau kepada kami bagi mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) di seret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

“Kini Shahrizat dan keseluruhan kepimpinan BN tidak lagi boleh berdolak-dalih dari berdepan dengan rakyat,” tegas Rafizi.

Menurutnya lagi, pihaknya yakin hanya dengan membawa kes berkenaan ke mahkamah akan memberi ruang untuk penyelewengan-penyelewengan lain yang belum didedahkan akan di bawa ke pengetahuan umum.

“Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin kanan BN tidak serius dalam memastikan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan, hanya dengan membawa kes ini ke mahkamah sahaja jalan penyelesaian yang boleh mendedahkan segala penyelewengan kepada pengetahuan umum,” katanya lagi.

Tuntutan saman balas itu telah difailkan bersama-sama dengan pembelaan di mahkamah dan kertas pembelaan tersebut telah diserahkan kepada peguam yang mewakili Shahrizat, Shafee & Co petang ini.

NFC telah menjadi topik hangat selepas projek penternakan lembu berkenaan dikatakan tidak mencapai sasaran dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010.

Sejak dari itu, PKR telah membuat beberapa siri pendedahan penyelewengan yang berlaku dalam NFC yang diuruskan oleh Pusat Fidlor Corporation (NFCorp) milik suami Shahrizat, Datuk Salleh Mohamad dan anak-anaknya.

Shahrizat sebelum ini telah menafikan penglibatan beliau berkenaan projek berkenaan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi