PKR: Konsep “kafir harbi” sudah tidak relevan
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Konsep “kafir harbi” dalam Islam moden sudah tidak lagi relevan kerana masyarakat kini mahukan keadilan dan kesamarataan, jelas pengerusi biro pemahaman dan pemantapan agama PKR, Dr Muhammad Nur Manuty hari ini.
Kenyataan dari Tuan Guru Haji Abdullah Samaah baru-baru ini mengatakan bahawa mengundi DAP adalah haram kerana “menyokong kafir harbi yang memerangi agama”.
“Ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi,” kata beliau dengan merujuk dari pandangan Sheikh Rashid Ghanoushi, ketua parti al-Nahdah di Tunisia."
“Justeru, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis."
“Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul Uwatinun La Zimmiyyun (Kewarganegaraan Bukan Zimmi)."
“Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk ditelaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini,” katanya lagi.
Kata beliau lagi, ini merupakan kenyataan orang-orang pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka dalam politik.
“Setelah hampir 54 tahun, Umno masih lagi bermain isu lapuk dan terus menjadikan Melayu menjadi keliru dan bingung.
“PKR berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah UMNO telah begitu terdesak dan bankrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan.
“Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus negara selepas pilihan raya umum ke 13 nanti, kerana telah kehilangan arah, hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan,” kata Muhammad dalam kenyataan media yang dihantar kepada The Malaysian Insider hari ini.




