Bahasa

PKR timbang letak Tee Keat di Pandan tetapi pilih Rafizi, kata sumber

Oleh Clara Chooi dan Md Izwan
February 24, 2013

KUALA LUMPUR, 24 Feb — PKR pernah menimbangkan untuk meletakkan pemimpin MCA Datuk Seri Ong Tee Keat di kerusi akhirnya memilih Rafizi Ramli. 

The Malaysian Insider difahamkan, pertimbangan tersebut dilakukan selepas pengikut MCA daripada kem Ong “memberikan isyarat” kepada pemimpin PKR tentang kemungkinan Ong bertanding atas tiket PKR, tetapi ianya tanpa pengesahan jelas daripada bekas presiden MCA tersebut menyebabkan parti itu memutuskan tidak memandang serius perkara tersebut. 

“Kami sebenarnya tidak pernah dengar sendiri daripada mulut beliau (Ong), walaupun penyokongnya telah menyatakan sebagai wakil kepada beliau,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider. 

“Tapi terdapat petanda jelas ia adalah Ong, ataupun hasrat penyokongnya. Melihatkan ia hanya untuk menguji menerusi penyokong beliau, jadi ia tidak ada sesuatu yang berasas.” 

Sumber itu turut menambah walaupun perkara tersebut dibincangkan pada peringkat kepimpinan, parti memutuskan untuk meneruskan kempen di parlimen Pandan dan kekal dengan Rafizi sebagai calon kerana enggan membuat pilihan calon pada saat-saat akhir. 

Selain itu lagi, sumber juga memberitahu pada ketika ini isu dibangkitkan terdapat kemungkinan besar Ong (gambar) adalah pilihan utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai calon di kerusi parlimen Pandan. 

Ong telah diketepikan selaku presiden MCA oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semasa kemelut perebutan kuasa pada 2010, beliau juga merupakan ahli parlimen Pandan selama lima penggal. 

Namun, awal minggu ini Dr Chua memberitahu media pada sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA bahagian Pandan Ong telah terkeluar daripada senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya 2013. 

Dr Chua sebaliknya berkata MCA bahagian telah mencadangkan peguam berusia 39 tahun Gary Lim yang juga mengetuai biro undang-undang bahagian. 

Perkara tersebut walau bagaimanapun telah dinafikan apabila kepimpinan bahagian parti mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat dan menjelaskan mereka tidak pernah memutuskan sebarang nama calon di Pandan dan tidak menghantar nama Lim. 

Banyak spekulasi sebelum ini mengatakan terdapat kemungkinan Ong mungkin menyertai pembangkang memandangkan beliau kini semakin terpinggir dari rakannya dalam MCA sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi beliau tidak pernah membuat sebarang pengesahan mengenai perkara tersebut. 

Apabila dihubungi The Malaysian Insider, Rafizi berkata situasi tersebut sememangnya sudah dijangkakan dan tidak mengejutkan. 

Apabila ditanya sama ada PKR akan memberikan laluan kepada Ong untuk bertanding atas tiket PR memandangkan personaliti tersebut dilihat sebagai “calon boleh menang”, Rafizi berkata isu tersebut pernah dibincangkan tetapi peringkat akar umbi menolak cadangan tersebut. 

“Perkara ini ada dibincangkan dan dibangkitkan, tapi peringkat akar umbi menolaknya. 

“Alasan yang diberikan ialah bagi mengelak episod lompat parti Pilihan Raya 2008 berulang lagi, lagipun Ong Tee Keat ini cuba mengambil kesempatan selepas namanya tiada sebagai calon di Pandan,” kata beliau lagi. 

Rafizi juga berkata tiada masalah untuk memberi laluan kepada Ong bertanding dikawasan parlimen tersebut, tapi mengganggap ia suatu perkara yang merugikan kerana jentera PR sudah semakin kukuh disitu dan penerimaan masyarakat ke atas PKR sangat baik. 

Walaupun berlaku kekeliruan tentang calon yang akan diletak BN di kawasan Pandan, keputusan nampak lebih menyebelahi kepada Ong sebagai calon yang mana disokong oleh beberapa pemimpin kanan Umno memandangkan popularitinya dikalangan penduduk sekitar kawasan tersebut. 

Nama Rafizi, 35, pada mencuri tumpuan umum ekoran beberapa pendedahan kontroversi antaranya skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), serta sering menjadi penceramah PR diseluruh negara. 

Perbalahan antara Dr Chua dan Ong berlaku sejak episod perebutan jawatan Presiden MCA pada 2010. 

Semenjak Dr Chua memegang tampuk kepimpinan MCA, Ong semakin dipinggirkan dalam parti, dan sering diserang oleh penggantinya, yang sejak itu tidak disukai di dalam parti. 

Dalam Pilihan Raya 2008 lalu, Ong mempertahankan kerusi parlimen Pandan dengan mengalahkan calon PKR, Syed Shahir Syed Mohamud dengan majoriti 2,961 undi. Beliau memperolehi 25,236 undi berbanding lawannya  22,275 undi. 

Kawasan Pandan adalah kerusi campuran yang mengandungi 55 peratus bukan Melayu dengan pengundi di bawah umur 40 lebih separuh jumlahnya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi