Bahasa

PKR umum tanding 11 kerusi Parlimen dan 21 DUN di Selangor, tampil enam muka baru

Anwar (tengah) bersama barisan calon-calon PKR bagi negeri Selangor 14 April, 2013. – Gambar-Gambar oleh Choo Choy MayAnwar (tengah) bersama barisan calon-calon PKR bagi negeri Selangor 14 April, 2013. – Gambar-Gambar oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 15 April — Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan 11 kerusi Parlimen dan 21 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Selangor yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya 2013, serta enam calon baru turut diumumkan sebagai calon.

Anwar berkata pemilihan calon kali ini dibuat dengan teliti, mempunyai kelayakan serta dilihat mampu memikul tanggungjawab untuk mempertahankan negeri Selangor.

“Pengumuman calon malam ini dilakukan dengan teliti,” kata Anwar dihadapan ribuan orang ramai yang membanjiri padang Keramat AU2 di sini.

“Mereka yang dipilih mempunyai kelayakan, terdiri daripada golongan profesional dan komited menggalas tanggungjawab untuk membela rakyat,” tambah beliau lagi.

Antara muka-muka baru kerusi Parlimen yang diumumkan Anwar adalah Rafizi Ramli yang bakal menggalas misi PKR di Pandan, Wong Chen di Kelana Jaya dan bekas pensyarah universiti Prof Dr Abdul Aziz Bari di Sabak Bernam.

Bagi kerusi DUN pula, tiga muka baru yang akan bertanding adalah Lee Chie Chen di Kajang, Dr Idris Ahmad di Ijok dan Hamidi A Hassan di Semenyih.

Khalid Ibrahim diumumkan sebagai calon Pelabuhan Klang. Khalid Ibrahim diumumkan sebagai calon Pelabuhan Klang. Walau bagaimanapun, pengumuman bagi kerusi DUN Kota Damansara belum diputuskan kerana masih lagi dalam perbincangan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), di samping kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru di Semenyih memandangkan kerusi tersebut sebelum ini ditandingi oleh setiausaha agung PSM, S Arutchelvan.

Pengumuman Wong bagi menggantikan Loh Gwo-Burne dilihat mengejutkan, memandangkan pengerusi biro pelaburan PKR tersebut dilihat masih baru di dalam arena politik negara dan tidak berpengalaman.

Menteri besar kerajaan sementara Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula diumumkan sebagai calon Pelabuhan Klang sekaligus mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Ijok yang disandangnya sebelum ini dan memberi laluan kepada calon baru Dr Idris Ahmad.

Di samping itu, bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam pula tidak akan mempertahankan kerusi parlimennya tetapi akan bertanding di kerusi DUN Bukit Melawati pada pilihan raya umum kali ini.

Kerusi parlimen Manikavasagam  tersebut akan digantikan calon anak tempatan daripada PKR,  G. Manivanan.

Pada tahun 2008, PKR memenangi 9 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, manakala bagi kerusi DUN pula, mereka memenangi 16 daripada 56 kerusi.

Azmin mengulangi pendirian akan mempertahankan Abdul Khalid sebagai menteri besar.Azmin mengulangi pendirian akan mempertahankan Abdul Khalid sebagai menteri besar.Sementara itu, pada ceramah sama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengulangi pendirian akan mempertahankan Abdul Khalid sebagai menteri besar negeri tersebut jika berjaya dimenangi semula selepas Pilihan Raya 2013.

“Tan Sri Khalid, saya akan jadi panglima untuk mepertahankan  tan sri kekal sebagai menteri besar di Selangor ini,” kata Azmin yang disambut dengan sorakan orang ramai.

Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan ekonomi dan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) dibawah MB sepenggal Abdul Khalid yang didakwa oleh Barisan Nasional (BN) gagal mempamerkan prestasi baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada 2008 lalu.

PR ketika ini mempunyai penguasaan yang ketara keatas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen.

Tempoh berkempen secara rasmi Pilihan Raya 2013 bermula pada 20 April dan hari mengundi jatuh pada 5 Mei.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.