Bahasa

PM: Pendemokrasian pendidikan buka peluang Orang Asli dapat pendidikan berkualiti

SERI ISKANDAR, 15 Feb — Prinsip pendemokrasian pendidikan diamalkan kerajaan telah membuka ruang dan peluang luas kepada rakyat termasuk golongan minoriti Orang Asli mendapat akses pendidikan berkualiti, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata prinsip yang berada dekat di hatinya itu tidak bersifat elitis atau terbuka kepada golongan yang berkedudukan tetapi setiap orang di negara ini mesti mendapat peluang berkenaan.

Beliau berkata pendidikan merupakan alat paling berkesan untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi sesuatu bangsa, kumpulan atau komuniti.

“Mungkin kita (kerajaan) boleh membina jalan, membina jambatan atau sediakan rumah sekalipun. Tetapi tidak ada alat wahana yang lebih berkesan berbanding sekiranya seseorang itu mendapat akses pendidikan berkualiti dan melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi dan selanjutnya,” katanya.

Najib (gambar) berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama YAB Perdana Menteri serta pelancaran program Mengubah Destini Orang Asli di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Beliau berkata tiada bumbung yang dapat mengehadkan pencapaian seseorang itu selain keinginan dan kesungguhan untuk berjaya melalui pemupukan semangat serta mengubah sikap, menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan dalam system pendidikan oleh kerajaan.

Najib berkata oleh yang demikian peluang untuk menjadi manusia yang berpendapatan tinggi, tidak mundur dan progresif serta berjaya akan menjadi kenyataan.

“Sebenarnya sebagai wakil rakyat di Pekan, saya mempunyai ramai anak buah Orang Asli di kawasan saya dan saya amat menghayati masalah  dan budaya Orang Asli. Saya sedar apa yang diungkapkan oleh Tok Batin Sahar (dari Kampung Lata Kinjang) tadi. Masyarakat Orang Asli adalah penyokong kuat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata hatinya sangat tersentuh dengan ucapan Sahar yang meluahkan harapan masyarakat Orang Asli yang tidak mahu lagi dibelenggu kemiskinan dan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“Jadi, sebagai kerajaan, kita kena sentiasa mengambil berat kedudukan dan masa depan Orang Asli...ini isi hati Orang Asli, sewajarnya segalanya bermula dengan impian dan cita-cita yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan amalan supaya ia bertukar menjadi kenyataan,” katanya.

Perdana Menteri berkata oleh sebab itu apabila Naib Canselor UiTM Prof Datuk Seri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar membentangkan kepadanya program Mengubah Destini Orang Asli itu, beliau dan kerajaan memberi sokongan sepenuhnya dan komitmen akan hadir pada program hari ini.

“16,000 anak miskin berada dalam sistem pendidikan UiTM, tidak mungkin mereka dapat menjejak kaki ke insitusi pengajian tinggi jika tidak ada program seperti ini.

“Begitu juga peluang untuk Orang Asli...(menerusi) program ini, sukarelawan perlu turun padang pergi ke kampung Orang Asli, cari anak-anak Orang Asli yang berkebolehan, berpotensi walaupun kelulusan paling minimum, ambillah mereka,” katanya.

Najib berkata apa juga kekurangan pada masyarakat Orang Asli perlu dibetulkan dengan usaha yang lebih kerana jika ada tumpuan, ramai anak Orang Asli akan maju dalam pendidikan. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.