Bahasa

PM terus berahsia bila pilihan raya umum ke-13

March 20, 2012

KUALA LUMPUR, 20 Mac — Datuk Seri Najib Tun Razak semalam terus berahsia mengenai bila pilihan raya umum ke-13 akan diadakan. Perdana Menteri meminta semua pihak termasuk media memahami bahawa beliau perlu menyimpan sesetengah maklumat.

Najib (gambar) berkata melontarkan pertanyaan mengenai tarikh pilihan raya tidak ubah seperti meminta ketua pegawai eksekutif syarikat Coca Cola untuk mendedahkan ramuan minuman ringan terkenal yang menjadi rahsia sejak sekian lama.

“Saya pasti anda semua memahami kenapa saya tidak boleh memberitahu tarikh itu,” katanya pada sesi soal jawab selepas melancarkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di sini. “Meskipun saya tahu, saya tidak boleh mendedahkan perkara itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Menurut Najib, beliau sedar bahawa sesetengah agensi berita asing meramalkan pilihan raya umum Malaysia akan diadakan pada Jun.

Menjawab pertanyaan mengenai pentingnya Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga, Najib menegaskan negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi mengelakkan Malaysia daripada ketidaktentuan politik.

Perdana Menteri mengakui dalam senario politik semasa, kemenangan majoriti dua pertiga kini memerlukan usaha yang lebih berbanding sebelum ini.

“Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu. Saya sendiri kini berusaha keras dan jadual kerja saya begitu padat,” katanya, sambil menambah kata ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi.

“Kita kini berhadapan dengan situasi yang berbeza dengan kewujudan media sosial, rakyat juga semakin bijak selain maklumat yang mudah diperoleh,” katanya.

Menjawab satu pertanyaan, Najib berkata dasar kerajaan kini adalah lebih terangkum dan adil kerana kekayaan negara perlu diagihkan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bumiputera tetapi juga kaum-kaum minoriti.

Mengenai lawatannya ke Myanmar pada 26 Mac, Perdana Menteri berkata lawatan itu akan merapatkan hubungan antara Malaysia dan Myanmar terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi