7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

PM wanita Australia kekal kuasa, disokong dua MP Bebas

September 07, 2010

MELBOURNE, 7 Sept – Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Julia Gillard hari ini menerima sokongan dua wakil rakyat daripada parti Bebas yang akan membolehkan beliau terus menerajui kerajaan Australia dengan majority tipis.

Wakil parti Bebas, Rob Oakeshott dan Tony Windsor berkata mereka akan menyokong Parti Buruh dan dengan itu membolehkan parti itu mempunyai 76 kerusi yang diperlukannya untuk menubuhkan kerajaan.

Kini, Pembangkang mempunyai 74 kerusi di Dewan Perwakilan Australia.

Perdana Menteri wanita pertama Australia itu berkata rakyat negaranya menuntut kerajaan baru supaya lebih bertanggungjawab berbanding kerajaan sebelum ini dan lebih berwibawa berbanding kerajaan lain dalam sejarah moden.

“Kerajaan yang akan kami bentuk nanti hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat Australia,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan ke seluruh negara.

Gillard berkata parti pimpinan beliau yakin dapat mewujdukan sebuah kerajaan yang stabil, berkesan dan selamat untuk tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami akan mengamalkan standard ketelusan serta perubahan lebih tinggi dan dengan semangat inilah saya akan tunaikan tangunggjawab apabila membentuk kerajaan nanti,” katanya.

Gillard berkata kebuntuan politik yang wujud sebelum ini telah membuka ruang lebih luas terhadap keterbukaan, ketelusan dan perubahan tentang cara Parlimen perlu berfungsi berbanding tempoh lain dalam sejarah politik moden Australia.

Beliau juga menghulurkan salam persahabatan kepada Ketua Pembangkang Tony Abbott dan pemimpin Parti Kebangsaan Warren Truss sambil berkata perbezaan kecil dalam jumlah undi yang diterima parti masing-masing menunjukkan bahawa rakyat mahukan mereka mencari lebih banyak titik kerjasama demi memenuhi kepentingan negara.

“Saya berikrar, sebagai Perdana Menteri, saya akan berusaha dengan sedaya upaya untuk mewujudkan kerjasama secara konstruktif dengan anda dan rakan-rakan anda untuk mencari asas persamaan itu,” katanya.

Gillard berkata beliau telah menawarkan jawatan di Kementerian Hal Ehwal Serantau kepada Oakeshott.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai dengan wakil Bebas itu, Gillard berjanji “akan berlaku adil” dalam hal berkaitan wilayah di Australia.

Gillard berkata bekas Perdana Menteri Kevin Rudd akan ditawarkan portfolio penting, tetapi enggan menyatakan sama ada beliau akan diberi jawatan berkaitan hal ehwal luar negara.

“Saya beri komitmen kepada Rudd bahawa beliau akan menjadi anggota kanan dalam barisan menteri saya iaitu sebagai anggota Kabinet,” katanya. – Bernama