Bahasa

Polis ambil tindakan jika anjur perhimpunan selepas pengundian

May 05, 2013

Polis  berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 147 Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.- Gambar oleh Choo Choy MayPolis berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 147 Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.- Gambar oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 5 Mei — Mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan atau perarakan selepas proses pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) hari ini bakal berdepan tindakan undang-undang, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 147 Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan. 

“Polis juga melarang kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan '505' daripada membuat sebarang perhimpunan dan perarakan ke Putrajaya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai supaya berwaspada dengan usaha pihak tertentu menyebarkan keputusan PRU13 yang tidak disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Di KELANTAN, perkara sama ditegaskan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai pengumuman keputusan tidak rasmi PRU13 bagi mengelak kekeliruan dan huru-hara.

Di LAHAD DATU, lokasi insiden pencerobohan pengganas di pantai timur Sabah baru-baru ini, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata proses mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian berjalan lancar.

“Saya lihat rata-rata pengundi yang hadir tidak berasa takut memandangkan kita telah menterjemahkan kawalan keselamatan dengan kehadiran anggota polis dan tentera mengawal keselamatan. Keadaan kekal terkawal tanpa dicemari sebarang insiden tidak diingini,” katanya kepada Bernama.

Di SEMPORNA, Ketua Polis Daerah Semporna DSP Firdaus Francis berkata pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan yang telah ditambah hari ini. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi