Bahasa

Polis berkas bekas pemandu KTMB cuba curi enjin lori

July 25, 2012

TEMERLOH, 25 Julai — Menganggur sejak setahun lalu, seorang bekas pemandu Keretapi Tanah Melayu Berhad di sini, mengambil jalan mudah menjadi pencuri untuk menanggung keluarga.

Namun, perbuatan bapa kepada tiga anak itu terbongkar apabila dia ditangkap ketika cuba mencuri enjin lori  di sebuah bengkel di Taman Bahagia di sini semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Temerloh DSP R Sundralingam berkata

dalam kejadian 5.30 pagi itu, perbuatan suspek berusia 37 tahun tersebut disedari pengawal keselamatan di bengkel berkenaan.

"Sebelum kejadian, suspek yang menaiki kenderaannya berhenti di tepi bengkel berkenaan sebelum menceroboh bengkel terbabit dan mengambil enjin sebuah lori.

"Ketika mangsa sedang meletakkan enjin lori berkenaan dalam kenderaannya, pengawal keselamatan bengkel yang memerhati suspek telah menyergah sebelum memberkas lelaki itu," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata enjin lori berharga RM3,000 itu dipercayai akan dijual suspek bagi mendapatkan wang saku.

Katanya lelaki terbabit kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi