Bahasa

Polis buka dua kertas siasatan berhubung pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna

KUALA LUMPUR, 12 Mac — Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara bagi menentukan tindakan berdasarkan undang-undang yang akan dikenakan terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan itu.

"Biar kita berunding dahulu dengan pihak Peguam Negara untuk siasat kes ini di bawah Seksyen 130 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Cek Wira Operasi Daulat.

Turut hadir Pengerusi Felda Global Venture (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-Hicom Berhad Datuk Mohamed Razeek Md Hussain.

Khalid berkata polis sentiasa mengawasi keadaan di Lahad Datu dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan negara dan rakyat terjamin. 

Dalam pada itu, Khalid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang memperlekeh dan mempersoal tindakan anggota keselamatan yang terkorban dan cedera dalam Operasi Daulat.

Tindakan juga akan dikenakan terhadap pihak yang menyebar dan membuat sebarang ulasan negatif mengenai tindakan pasukan keselamatan negara, katanya.

"Saya ingin memberi amaran kepada mereka-mereka ini, arahan telah dikeluarkan supaya mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan yang mencerca dan menghina tindakan pasukan keselamatan kita ini. Ini satu perbuatan yang amat keji. "Jadi saya minta hentikan sebarang 'statement' yang menghina, mempersenda dan memperlekeh apa jua tindakan keselamatan negara kita kerana kita akan menjejaki mereka sehingga dapat," katanya.

Beliau berkata polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau semua laman web dan media sosial bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

Pada majlis itu, FGV memberi sumbangan RM120,000 dan DRB-Hicom RM98,000 kepada waris lapan anggota polis yang terkoban dan lima yang cedera dalam Operasi Daulat. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments