Bahasa

Polis kenal pasti 8 Parlimen, 13 DUN panas di Sabah

April 16, 2013

KOTA KINABALU, 16 April — Polis Sabah mengenal pasti lapan kawasan Parlimen dan 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) panas di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kawasan Parlimen yang dijangkakan panas ialah Tuaran, Sandakan, Tawau, Kota Kinabalu, Beaufort, Sepanggar, Penampang dan Pensiangan.

Bagi DUN pula, kawasan yang dikategorikan sebagai panas ialah Likas, Luyang, Api-Api, Inanam, Kepayan, Sri Tanjong, Klias, Kuala Penyu, Tanjong Papat, Karamunting, Elopura, Binkor dan Merotai.

“Kita anggap kawasan ini panas bukan kerana faktor keselamatan, tetapi persaingan yang akan berlaku di situ,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan wakil parti di Ibu Pejabat Kontinjen Polis di sini hari ini.

Seramai 20 wakil parti yang akan bertanding menghadiri perjumpaan itu.

Selain itu, Hamza berkata seramai 7,000 anggota keselamatan akan bertugas sepanjang proses pilihan raya bagi memastikan ia berjalan lancar.

Sehingga kini, pihaknya menerima 10 laporan polis berkaitan pilihan raya melibatkan kesalahan berhimpun secara aman, merosakkan dan membakar bendera, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Mengulas mengenai perjumpaan itu, Hamza memberitahu wakil parti diberikan taklimat berhubung perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan pada PRU, selain taklimat keselamatan dan perundangan.

“Kita juga telah memaklumkan wakil parti bahawa bermula tarikh penamaan calon hingga tamat tempoh berkempen, polis akan menguatkuasakan Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Beliau juga mengingatkan parti politik untuk memohon permit sebelum berkempen dan arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah supaya semua permohonan dapat diproses dengan segera.

“Kita mahu permit diproses dengan cepat supaya mereka (calon) diberikan masa secukupnya untuk berkempen dan kita tidak mahu menghalang proses demokrasi yang diamalkan,” katanya.

Di Sabah sebanyak 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN dipertandingkan pada PRU13. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi