Bahasa

Polis percaya masih ada musuh bersembunyi di Kampung Tanduo — KPN

LAHAD DATU, 5 Mac — Polis masih menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di Kampung Tanduo, Lahad Datu kerana percaya masih ada musuh di kawasan seluas empat kilometer persegi itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata tindakan susulan selepas serangan ofensif terhadap kumpulan pengganas itu dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera.

“Saya tidak mahu melihat anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan tentera melakukan serangan ofensif terhadap pengganas dari Sulu di Kampung Tanduo pada pukul 7 pagi.

Sementara itu, Ismail menafikan laporan media Filipina yang mendakwa kumpulan daripada keluarga Kiram menemui mayat anggota pasukan keselamatan Malaysia dan dakwaan keluarga itu bahawa mayat penceroboh diperlakukan tanpa perikemanusiaan.

“(Kenyataan) itu tidak tepat sama sekali. Saya dukacita dengan laporan itu, sepatutnya mereka merujuk kepada pihak rasmi,” katanya.

Beliau berkata laporan seumpama itu adalah satu dakyah yang boleh menggugat ketenteraman awam di Sabah. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.