Bahasa

Polis Sabah: Kumpulan penceroboh bersetuju dengan proses pengusiran mereka

Polis Malaysia pulang daripada rondaan di laut berhampiran Lahad Datu. — Gambar ReutersPolis Malaysia pulang daripada rondaan di laut berhampiran Lahad Datu. — Gambar ReutersLAHAD DATU, 17 Feb — Kumpulan penceroboh dari selatan Filipina yang dikepung di Kampung Tanduo di sini bersetuju dengan proses pengusiran mereka tetapi terlebih dahulu ingin berjumpa personaliti tertentu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihaknya sedang berusaha untuk mereka (kumpulan penceroboh) berjumpa dengan individu berkenaan.

“Pada dasarnya mereka bersetuju dengan proses pengusiran itu tetapi sebelum itu mereka ingin berjumpa dengan personaliti itu,” katanya sambil enggan mengulas identiti individu tersebut. “Sebab itu kita tidak dapat tentukan bila mereka akan diusir tetapi mereka sudah bersetuju untuk dihantar pulang.”

Beliau ditemui pemberita di Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Felda Sahabat kira-kira 100 kilometer dari sini hari ini.

Pada Selasa lepas, kumpulan penceroboh yang menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu di Sabah dihantar pulang ke negara asal.

Hamza Taib selepas mesyuarat di pangkalan polis berhampiran Lahad Datu.Hamza Taib selepas mesyuarat di pangkalan polis berhampiran Lahad Datu.Hamza berkata buat masa ini keadaan masih sama lagi dan pihaknya masih lagi menguruskan usaha-usaha untuk memastikan mereka dihantar pulang ke Filipina.

Katanya seperti mana yang beliau katakan semalam, masih banyak perkara perlu diselaraskan.

“Kadang-kadang kita sebagai manusia ada perkara yang dalam jangkauan kita dan ada yang di luar jangkauan kita,” katanya.

“Apa yang pasti kita tidak ada perundingan dengan mereka sebab apa yang mereka tuntut di landasan yang salah dan meminta mereka mengemukakannya dalam forum tertentu.”

Hamza mengulangi jaminan bahawa keadaan keselamatan di negeri ini terutama di daerah ini adalah terkawal dengan pasukan keselamatan melakukan kawalan yang ketat.

Katanya kawasan tempat mereka melakukan pencerobohan (Kampung Tanduo) dikepung pasukan keselamatan.

“Laluan masuk dan keluar di kawasan itu dikawal rapi. Kita tahu jumlah mereka dan di mana mereka berada,” katanya.

Ditanya mengenai ada pihak tidak berpuas hati pendekatan pasukan keselamatan menangani isu ini melalui perundingan, Hamza berkata ia selari dengan pendekatan kerajaan yang dikenali menyelesaikan sesuatu isu melalui perundingan.

“Kita kena lihat banyak perspektif sebab kita berunding dengan manusia. Kita juga kena ingat, kebanyakan mereka sama ada mereka datang dari selatan Filipina termasuk di Sabah, mereka berkaitan.

“Apa perasaan mereka jika kita mengambil tindakan menentang orang mereka. Kita kena lihat kedua-dua perpekstif,” kata Hamza. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.