Polis serang 12 wartawan, kata NUJ kepada panel Bersih
KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Adalah menjadi kesalahan dari segi undang-undang jika anggota polis untuk menyerang dan mencederakan wartawan yang bertugas dalam perhimpunan aman, kata pemimpin Persatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) kepada inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dengan perhimpunan Bersih pada 28 April yang turut menyatakan 12 ahli mereka telah mengadu diserang.
“Polis tidak seharusnya menyebabkan kecederaan fizikal kepada wartawan.
"Walaupun mereka (wartawan) telah melakukan sebarang kesalahan, tidak ada keperluan untuk mencederakan mereka. Tangkap sahaja mereka," kata setiausaha agung NUJ, Anbalagan Veerasamy semasa sesi soal balas.
Anbalagan yang juga seorang wartawan kepada New Straits Times Press, berkata beliau menghadiri perhimpunan pada April 28 perhimpunan untuk memerhatikan sama ada pemberita yang bertugas pada hari itu mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Beliau menambah bahawa ia juga menjadi satu kesalahan bagi polis untuk merampas barang-barang peribadi milik wartawan seperti kamera dan kad memori.
“Saya rasa polis melakukan ini supaya dapat memadamkan segala bukti mereka (polis) yang melakukan keganasan semasa perhimpunan tersebut,” katanya.
Anbalagan menambah bahawa sehingga kini, 12 orang wartawan telah mengemukakan laporan kepada NUJ, mendakwa mereka telah diserang oleh polis semasa Bersih 3.0.
“Sesetengah wartawan mendakwa mereka telah diserang oleh sekumpulan orang yang menyamar sebagai anggota polis kerana mereka tidak memakai tanda pengenalan.
“Cara yang tidak senonoh oleh pihak polis harus dihentikan supaya pemberita boleh melaksanakan tugas tanpa takut tentang keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata bahawa perhimpunan Bersih bukanlah satu pergolakan sosial, walaupun dalam buku panduan NUJ kepada wartawan menyatakan bahawa mana-mana perhimpunan awam dianggap sebagai pergolakan sosial jika terdapat huru-hara berlaku.
“Para wartawan yang berada disana bertugas. Mereka tidak menyebabkan apa-apa huru-hara berlaku, “katanya, ketika menjawab ACP Jamaluddin Abdul Rahman, yang menjadi pemerhati bagi pihak polis.
Anbalagan juga menafikan dakwaan polis bahawa mereka mempunyai masalah mengenal pasti wartawan semasa perhimpunan tersebut, disebabkan terlalu ramai orang.
“Saya tidak fikir boleh menjadi masalah untuk mengenal pasti wartawan di sana. Tingkah laku mereka menunjukkan mereka adalah wartawan, walaupun pakaian mereka tidak menunjukkan demikian.
“Saya lihat tiada sebab untuk sebarang kekeliruan,” katanya.
Panel siasatan yang diketuai oleh Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen, akan menemuduga kira-kira 22 saksi dan anggota polis dalam tempoh 22 hari.
Inkuiri bersambung pada 13 Ogos.




