Bahasa

Polis serang pelanggan di restoran A&W ketika Bersih, saksi beritahu Suhakam

Oleh Thanusya Shanmuganathan
July 25, 2012

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Polis telah menyerbu masuk ke dalam restoran A&W semasa perhimpunan 28 April dan menyerang peserta Bersih yang sedang makan di situ, kata seorang saksi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam inkuiri hari ini.

Karam Singh Charan Singh, 50, seorang pemandu pelancong, mendakwa bahawa dia dan yang lain diserang oleh pegawai polis ketika sedang minum di restoran A&W di Jalan Tun Perak selepas perhimpunan itu.

Pegawai polis menahan seorang peserta di perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur 28 April 2012. — Foto fail“Polis telah menunjukkan kad kuasa mereka dan mengarahkan staf restoran itu untuk membuka pintu. Saya beritahu pekerja itu supaya jangan membuka pintu, tetapi staf restoran itu enggan mendengar kata saya dan membenarkan polis masuk.

“Polis itu kemudiannya terus ke meja saya dan rakan saya serta menyuruh kami membuka baju kuning. Seorang anggota polis kemudiannya cuba untuk menumbuk saya tapi tumbukannya hanya menyebabkan sedikit bengkak,” kata Karam.

Dia kemudian memberitahu panel bahawa polis telah memukulnya kerana cuba mempertahankan rakannya itu.

“Sembilan puluh peratus dari pelanggan tersebut adalah peserta Bersih. Ada seorang polis yang menjerit kami tidak sepatutnya dilayan begitu, mendakwa bahawa ada seorang pegawai polis telah dibunuh oleh para penunjuk perasaan.

“Polis telah memanggil kami ‘perosak’, memukul seorang lelaki dan mengherdik dua orang perempuan untuk pergi dari situ,” katanya lagi.

Karam berkata bahawa dia mendengar khabar angin bahawa seorang pegawai polis dan dua orang penunjuk perasaan telah terbunuh pada hari itu.

Dia juga berkata kepada panel dan pemerhati dia tidak membuat laporan polis tentang serangan itu di restoran.

“Saya hilang keyakinan terhadap polis selepas menyaksikan cara mereka melayan dan menakutkan kami yang mereka akan menyerang kami jika kami mengadu tentang mereka.

“Saya tidak cedera dari segi fizikal, tetapi merasa malu dengan insiden tersebut,” katanya lagi.

ia berkata pada awal hari tersebut, suasana perhimpunan tersebut seperti karnival tetapi menjadi tegang apabila polis mula menahan para penunjuk perasaan.

Inkuiri yang bermula pada 5 Julai, mahu menentukan sejauh mana keganasan terhadap hak asasi manusia terhadap mana-mana pihak semasa dan selepas perhimpunan.

Panel inkuiri yang diketuai oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh pesuruhjaya Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen akan menemubual 22 saksi dalam masa 22 hari.

Inkuiri bersambung pada 26 Julai.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi