Bahasa

Polis tahan lima suspek berkaitan kes samun dan curi kenderaan dalam dua serbuan berasingan

KOTA BAHARU, 5 Dis — Lima suspek yang terlibat dalam kes samun bersenjatakan senjata tajam dan curi kenderaan, berjaya ditahan polis Kelantan dalam dua serbuan berasingan di sini dan Bachok semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam serbuan kira-kira 12 tengahari semalam, empat suspek anggota Geng Parang berumur di antara 24 hingga 39 tahun, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Raja Dewa Hilir, di sini.

Beliau berkata anggota Geng Parang tersebut telah melakukan lima jenayah samun bersenjatakan senjata tajam pada 2 dan 3 Dis lalu di Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kota Baharu.

"Dalam kejadian tersebut, suspek terdiri daripada tiga hingga lima lelaki Melayu bersenjatakan parang dan sabit telah menyamun lima buah kedai, termasuk melarikan beberapa helai pakaian dan perhiasan pengantin di beberapa daerah di negeri ini melibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

"Selang masa untuk empat buah kedai yang disamun pada 2 Dis lalu adalah sekitar 20 hingga 30 minit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata pemeriksaan lanjut menemui beberapa barangan yang telah disamun, antaranya telefon bimbit dan alat perhiasan perkahwinan serta sebuah kereta jenis Proton Waja yang dilaporkan hilang di Pulai Chondong, Machang pada Nov lepas.

"Selain itu kita turut menemui beberapa senjata tajam seperti pedang, pisau, sabit, gunting, kelewang, nombor pendaftaran palsu dan topeng muka. Kesemua barangan ini dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan tersebut.

"Ujian air kencing juga mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis Meth dan Opiate dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Kesemua suspek tersebut ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 Dis untuk siasatan lanjut. Dalam kejadian berasingan, kira-kira 1 pagi semalam, sepasukan polis dari Balai Polis Gunong, Bachok, telah membuat serbuan di kawasan belakang Klinik Kesihatan Mahligai dan telah terserempak dengan empat lelaki, dipercayai Geng Mark Connect iaitu kumpulan yang terbabit mencuri kenderaan yang ketika itu sedang berkumpul.

Jalaluddin berkata setelah menyedari kehadiran polis, keempat-empat lelaki tersebut bertindak melarikan diri, bagaimanapun seorang lelaki berusia 39 tahun berjaya ditahan dan pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui 14 anak kunci kereta pelbagai jenis, suis tambahan kereta buatan sendiri, dua bilah parang dan pelbagai peralatan mencuri kereta yang lain.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek adalah salah seorang anggota Geng Zawa yang masih bebas dan suspek juga turut terlibat dalam kejadian kes samun di Gua Musang sehingga menyebabkan seorang anggota polis parah ditembak penjenayah," katanya.

Beliau berkata suspek yang positif dadah jenis Meth ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 8 Dis ini untuk membantu siasatan. — Bernama


Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.