Bahasa

Politik perkauman masih relevan, kata bekas KPN

Musa juga mengkritik parti yang mendakwa mereka pelbagai kaum tetapi sebenarnya masih dikuasai oleh kaum tertentu. - Gambar failMusa juga mengkritik parti yang mendakwa mereka pelbagai kaum tetapi sebenarnya masih dikuasai oleh kaum tertentu. - Gambar fail

PETALING JAYA, 9 April — Tan Sri Musa Hassan menyokong politik perkauman malam tadi dengan mengatakan parti politik berasaskan kaum dalam Barisan Nasional (BN) masih lagi relevan dengan suasana politik masa kini.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu juga mengkritik parti yang mendakwa mereka pelbagai kaum tetapi sebenarnya masih dikuasai oleh kaum tertentu.

“Bagi saya, bahawa parti politik yang berasaskan bangsa masih relevan. Kerana kita perlu bersama-sama berkongsi kuasa menjaga negara kita ini dengan aman,” kata Musa malam tadi dalam satu forum dianjurkan oleh NGO anti PKR Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

“Toksah lah kita mendengar apa yang orang katakan bahawa tak relevan.”

Menurut Musa, parti berasaskan kaum penting untuk mewakili setiap kaum agar insiden seperti tragedi 13 Mei dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kalau tidak kita akan jadi macam negara Arab, kita akan bergaduh sampai bila-bila masa,” tambah beliau.

Bekas pemimpin tertinggi pasukan polis itu lantang menyuarakan mengenai isu keselamatan dan keamanan Malaysia dan mengkritik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di bawah kepimpinan Tan Sri Ismail Omar.

Pada Febuari lalu, beliau memberikan amaran “Arab Spring” boleh berlaku di sini jika pihak yang kalah dalam pilihan raya tidak berpuas hati dengan keputusan.

“Saya percaya parti politik yang kalah akan menggunakan penyokong mereka untuk menjatuhkan kerajaan seperti apa yang berlaku di Timur Tengah.

“Parti politik mesti mengawal diri mereka dan berkelakuan sepatutnya bermula sekarang,” kata Musa.

Forum semalam mengenai konflik bersenjata Lahad Datu juga kritikal kepada kebangkitan Arab yang merupakan kebangkitan rakyat secara aman.

Dokumentari mengenai kebangkitan rakyat di seluruh dunia turut dimainkan dan mereka dituduh ditaja oleh anasir asing untuk menimbulkan kekacauan.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.