Bahasa

Portfolio Exco Kedah ‘disimpan’ untuk wakil MCA

May 15, 2013

ALOR SETAR, 15 Mei — Satu kekosongan jawatan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah “disimpan” untuk wakil daripada MCA manakala satu lagi kekosongan akan ditentukan kemudian jika perlu, kata Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kekosongan jawatan Exco untuk MCA itu akan diisi jika kepimpinan pusat parti komponen Barisan Nasional (BN) itu membenarkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka dilantik sebagai Exco.

Katanya pihaknya telah menghantar surat kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi mengemukakan cadangan dan pandangan mengenai pelantikan Exco daripada wakil MCA.

“Harapan saya pihak MCA buat keputusan cepat, saya tak mahu perkara ini berlarutan panjang. Saya tak nyatakan secara khusus mengenai tempoh (untuk MCA beri jawapan), tapi harap keputusan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan Exco Kedah 2013 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Hari ini lapan  Exco mengangkat sumpah memegang jawatan berbanding 10 Exco dalam kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya Kedah boleh mengguna pakai kaedah pelantikan ADUN Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong, sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor (yang dilantik Sultan Johor) sekiranya MCA tidak mengemukakan persetujuan untuk pelantikan wakil mereka sebagai Exco.

“Saya boleh persembah cadangan kepada Tunku Bendahara (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan) untuk persetujui cadangan ini, Kedah boleh gunakan kaedah itu. Tapi kita hormati keputusan rakan-rakan daripada MCA, sebab tu tak nak paksa wajib ada wakil daripada Cina,” kata Mukhriz.

Beliau berkata portfolio yang disimpan untuk wakil daripada MCA itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), BN Kedah memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan Umno menang 19 kerusi manakala MCA dua kerusi iaitu Gurun dan Kulim.

Sementara itu, Mukhriz berkata lantikan Exco kali ini dibuat terus untuk satu penggal iaitu selama empat atau hingga lima tahun dan tidak akan lagi ada pelantikan setiap tahun seperti sebelum ini.

“Perkara itu telah mendapat perkenan daripada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Bagaimanapun sebagai Menteri Besar, saya masih kuasa untuk membuat sebarang rombakan sekiranya perlu pada bila-bila masa,” katanya.

Mengenai lantikan dua Exco wanita, beliau berkata ia dibuat secara meritokrasi dan melihat keperluan-keperluan yang ada pada seseorang individu untuk memegang portfolio yang telah ditetapkan.

“Saya terkejut sebelum ini hanya ada seorang wanita di kalangan Exco, ia tidak terlintas bahawa dua itu ramai. Saya ingat minimum sepatutnya. Lantikan ini adalah berdasarkan merit,” katanya.

Beliau berkata lantikan itu dibuat setelah mengambil kira pengalaman seseorang itu daripada segi profesional atau sebaliknya dan yang lebih penting dapat membantu beliau dalam pentadbiran negeri.

“Saya harus akui bukan saja nak isi kuota dua orang, tapi lihat daripada segi meritokrasi,” katanya.

Mengenai projek-projek kerajaan negeri yang masih belum selesai, beliau berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco hari ini dan akan cuba menyelesaikan projek yang tertangguh secepat mungkin.

“Saya terima banyak laporan mengenai projek tertangguh dan akan berbincang mengenai perkara ini dalam mesyuarat Exco nanti,” katanya.

Mengenai portfolio untuk setiap Exco, beliau berkata ia tidak banyak berubah daripada sebelum ini cuma terdapat penambahan daripada segi sektor teknologi tinggi.

“Menjadi harapan saya untuk melihat Kedah maju dalam teknologi tinggi seiring dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri supaya ekonomi berteraskan pendapatan tinggi,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi