PPMM rancang tubuh pusat mediasi Islam
SHAH ALAM, 17 Sept — Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) merancang menubuhkan Pusat Mediasi Islam yang akan dikendalikan pihak swasta dalam usaha menyelesaikan kes-kes pertikaian membabitkan orang Islam secara lebih efektif, cepat dan murah.
Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata penubuhan pusat itu kelak diharap dapat menyelesaikan pertikaian berhubung kes-kes syariah dan perbankan Islam selain menjimatkan kos pihak-pihak yang bertikai.
“Kita sudah pun mempunyai pegawai sulh (mediator kerajaan) di Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan pertikaian orang Islam dengan lebih profesional dan tersusun tetapi tidak mempunyai mediator swasta untuk berbuat demikian.
“Pegawai sulh pula terikat dengan peraturan seperti tempat dan waktu kerja dan ada yang kurang berpengalaman serta tidak diakreditasi oleh badan profesional.
“Justeru, penubuhan Pusat Mediasi Islam ini dapat melengkapi tugasan pegawai sulh dalam menangani segala pertikaian.”
Zainul Rijal berkata melalui pusat mediasi itu, penyelesaian berhubung sesuatu pertikaian dapat dicapai atas dasar keperluan sebenar pihak-pihak bertikai di atas situasi menang-menang iaitu maksudnya tiada pihak yang kalah.
“Kalau penyelesaian dicapai secara sepakat melalui mediasi, maka tidak akan ada orang mempertikai keputusan yang dibuat pihak-pihak bertikai secara sukarela,” katanya yang memberitahu bahawa sebuah universiti tempatan berminat bekerjasama dengan PPMM menubuhkan pusat mediasi itu.
Mediasi ialah proses bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah.
Ia antara cabang “Alternative Disputes Resolution” (ADR) iaitu kaedah penyelesaian tanpa merujuk pertikaian ke mahkamah yang sejak kebelakangan ini merupakan trend penyelesaian pertikaian.
Sementara itu, Zainul berkata lebih 60 anggota persatuan itu merupakan mediator bertauliah manakala 24 anggota lagi telah mendapat sijil dalam Mediasi Lanjutan.
Beliau berkata PPMM, yang mempunyai keanggotaan seramai 1,200 orang, telah menubuhkan Kelab Peguam Muda di Jordan dan Mesir bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa syariah Malaysia di timur tengah mengenai sistem perundangan syariah di Malaysia. — Bernama




