Bahasa

PR akan berdemo tuntut mansuh Tol Batu Tiga dan Sungai Rasah

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 10, 2012

SHAH ALAM, 10 Mei — Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara akan mengadakan demonstrasi aman menuntut pemansuhan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasah 13 Mei ini.

Jelas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, demonstrasi itu bertujuan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya memansuhkan operasi di plaza tol itu kerana menurutnya konsesi tol terbabit telah mengaut keuntungan lebih 30 tahun sejak operasinya di situ.

“Demonstrasi aman ini bertujuan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan BN supaya memansuhkan tol tersebut, dan tarikh 13 Mei itu adalah lambang perpaduan rakyat pelbagai kaum dalam usaha melepaskan rakyat dari cengkaman kroni Umno-BN,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelas Khalid (gambar), pihaknya yakin syarikat konsesi tol tersebut telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana mereka telah beroperasi sejak tahun 80-an dan ianya selari dengan tarikh tamat konsesi itu yang dijangka pada 2023.

“Konsesi akan tamat pada tahun 2023, jadi kami PR akan mendesak supaya tol itu dimansuhkan lebih awal kerana ia menguntungkan kroni.

“Kita akan membuat jemputan melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter,” tambahnya lagi.

Demonstrasi itu dijangka akan disertai lebih 3,000 peserta, dan akan bermula dari jam 2 petang.

“Saya berharap pihak keselamatan akan memberikan kerjasama dengan mengawal lalu lintas sepanjang demonstrasi tersebut berlaku,” katanya lagi.

Jelas Khalid, jika PR mengambil alih Putrajaya, mereka akan memansuhkan terus pungutan tol di negara ini.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi