Bahasa

PR akan struktur semula AP tampung mansuh duti eksais

TERKINI @ 03:05:37 PM 27-07-2012

Oleh Mohd Farhan Darwis
July 27, 2012

Rafizi Ramli: Sistem sekarang hanya memberikan kelebihan AP kepada sesetengah kumpulan masyarakat dan bukannya kepada keseluruhan masyarakat. — Foto fail oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 27 Julai — Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini berkata, demi menampung kehilangan dana kerajaan ekoran cadangan mereka untuk memansuhkan duti eksais kereta, Pakatan Rakyat (PR) bercadang untuk menstruktur semula kadar Permit Import (AP).

Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini berkata, pemberian AP itu perlu distruktur semula kerana sistem yang ada sekarang hanya memberikan kelebihan kepada sesetengah kumpulan masyarakat dan bukannya kepada keseluruhan masyarakat Malaysia.

“Kami akan semak semula pemberian AP bagi menangani kekurangan pendapatan yang disebabkan pemansuhan duti eksais kereta.

“Kalau AP diurus dengan baik, saya percaya ada sumber kewangan yang boleh digantikan daripada kehilangan dana kerajaan akibat rombakan struktur cukai kereta itu,” katanya.

Rafizi sebelum ini mengumumkan, PR akan memansuhkan duti eksais kereta sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Mengulas berkenaan perkara itu, Rafizi turut menjelaskan, mekanisme berkenaan cadangan beliau itu telah pun dibincangkan parti.

“PKR telah membincangkan mekanisme rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan duti eksais diganti dengan sumber pendapatan baru.

“Perkara ini juga perlu diperhalusi dengan lebih dalam supaya rakyat boleh membuat keputusan kaedah percukaian kereta yang lebih adil kepada mereka,” tambahnya.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) sebelum ini menjangkakan PR akan mengenakan cukai baru untuk menampung perbelanjaan kerajaan sekiranya mereka memerintah ekoran pemansuhan duti eksais kereta ini.

Selain itu, Rafizi juga turut menjelaskan, hasil kutipan cukai daripada duti eksais kereta hanyalah RM8 bilion setiap tahun dan antara kaedah lain yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan perbelanjaan negara jelas beliau adalah jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berbelanja boros seperti yang dilakukannya sekarang ini.

“PKR yakin rombakan struktur cukai ke arah memastikan kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika keborosan perdana menteri dihentikan.”

Beliau menyatakan bahawa Najib telah membelanjakan sejumlah RM5.77 bilion sejak enam bulan pertama sebelum ini melalui pemberian luar perancangan yang meliputi Bantuan Rakyat 1 Malaysia, (BR1M), Skim Bantuan Kembali Ke Sekolah 1 Malaysia, termasuk yang terbaru pemberian bonus kepada kakitangan awam sempena sambutan Aidilfitri.

“Jumlah ini adalah gula-gula yang sewenang-wenangnya digunakan perdana menteri untuk membeli undi rakyat,” katanya.

Justeru, Rafizi berkata, melalui rombakan dalam AP dan pengurangan perbelanjaan perdana menteri dilaksanakan, ia berkemungkinan dapat mengatasi masalah kekurangan dana kerajaan akibat dariada pemansuhan duti eksais jika Pakatan Rakyat memerintah negara ini kelak.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi