Bahasa

PR lancar manifesto PRU13 dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’

Oleh Mohd Farhan Darwis
February 25, 2013
Latest Update: February 26, 2013 04:26 am

SHAH ALAM, 25 Feb — Pakatan Rakyat (PR) hari ini melancarkan manifesto pilihan raya mereka dengan tema “Pakatan Harapan Rakyat” menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang memberikan fokus kepada tata kelola yang baik berteraskan prinsip moral dan nilai sejagat yang memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Manifesto keempat pakatan pembangkang itu dilancarkan di Pusat Konvensyen SACC di sini memberikan fokus kepada empat paksi utama; rakyat bersaudara; ekonomi rakyat; kesejahteraan rakyat; dan kerajaan rakyat.

Antara intipati manifesto itu adalah memerangi rasuah secara agresif melalui pewujudan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN), Suruhanjaya Anti Monopoli, dan Suruhanjaya Kontrak Awam, bagi memecahkan monopoli dan kontrak-kontrak awam yang telah dianugerahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menyemak semula keadilan kontrak berkenaan.

“Kami akan mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru kepada rakyat negara ini secara berperingkat dengan kita pastikan 1 juta buruh asing dikeluarkan dalam tahun kelima PR memegang kuasa di Putrajaya,” kata Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli (gambar) ketika membentangkan manifesto tersebut.

Selain penghapusan beberapa program kerajaan BN seperti, PR juga di hadapan 1,500 perwakilan berjanji akan mereformasi institusi kehakiman, Kamar Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk mereformasi Parlimen.

Pembangkang itu turut menjanjikan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sistem penguatkuasaan trafik yang menimbulkan kontroversi, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), pengambilan berperingkat lebuhraya di Malaysia dan pemansuhan tol, menghentikan operasi kilang nadir bumi Lynas, kajian semula semua fasa Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), dan banyak lagi.

Mereka turut menggunakan pendekatan ekonomi apabila mengemukakan sasaran untuk memastikan isi rumah rakyat Malaysia berpendapatan RM4,000 minimum bagi lima tahun pertama pemerintahan mereka.

Malahan, mereka juga mensasarkan penurunan harga minyak dan bil utiliti, termasuk penurunan harga kereta, pendidikan percuma, termasuk meningkatkan kadar bayaran cukai kepada mereka berpendapatan RM400,000 setahun berbanding RM250,000 sekarang.

Dalam menarik sokongan anggota pasukan keselamatan negara, PR dilihat mengemukakan manifesto yang menjurus kepada pasukan angkatan tentera apabila mereka mensasarkan sumbangan kerajaan PR kepada caruman tentera akan ditambah kepada 20 peratus berbanding 15 peratus untuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dana tambahan lima peratus akan digunakan untuk membantu pesara yang tidak berpencen.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi