Bahasa

Premis tumpuan awam di Kelantan perlu wujud ruang ‘rakan bayi’

September 16, 2012

BACHOK, 16 Sept — Jabatan Kesihatan Kelantan meminta premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai mewujudkan ruang khas “rakan bayi” bagi memberi peluang kepada ibu menyusukan anak mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata pihaknya mendapati ramai dalam kalangan ibu yang mengunjungi premis berkenaan merasa malu menyusu bayi masing-masing dengan susu badan di kawasan terbuka.

“Ini menyebabkan mereka tiada pilihan selain menyusu bayi masing-masing dengan susu botol yang mengandungi susu tepung,” katanya ketika berucap pada Kempen Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan kesemua ibu di negeri ini dapat menyusu bayi masing-masing dengan susu badan selama enam bulan sebelum memberikan susu tepung.

Katanya sehingga ini, hanya kira-kira 50 peratus ibu dapat menyusukan anak mereka dengan susu badan dalam tempoh empat bulan sahaja dan ia satu perkembangan kurang sihat kepada bayi untuk membesar.

Beliau berkata antara faktornya, mereka memberi alasan sibuk dan mengambil jalan mudah selain merasa malu menyusu di khalayak ramai. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi