Bahasa

Presiden parti PKS ditahan kerana disyaki terbabit rasuah

JAKARTA, 31 Jan — Politik Indonesia dikejutkan dengan penahanan Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Luthfi Hasan Ishaaq, iaitu parti berasaskan Islam dan sebuah daripada parti gabungan dalam kerajaan Indonesia.

Luthfi ditahan pada Rabu malam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia kerana disyaki terbabit kes rasuah berkaitan pemberian kouta daging import.

Beliau disyaki menerima suapan daripada syarikat PT Indoguna Utama, yang mengimport daging lembu.

Penahanan beliau menyusul penahanan empat individu di sebuah hotel di sini pada Selasa, yang dipercayai mahu menyerahkan sejumlah wang kepada Luthfi melalui orang tengah.

Semasa individu itu ditahan, KPK merampas wang berjumlah Rp1 bilion (RM320,000) dalam pecahan wang kertas Rp100,000 selain beberapa dokumen perniagaan dan buku akaun bank.

Jurucakap KPK Johan Budi memberitahu sidang akhbar di sini sungguhpun Luthfi tidak berada di tempat kejadian, pegawai penyiasat ada bukti kuat bahawa beliau ada kaitan dengan kes itu.

"Kami mempunyai bukti jelas bahawa Luthfi merupakan suspek utama kes rasuah ini," katanya.

Sejurus sebelum ditahan KPK, Luthfi mengadakan sidang akhbar menafikan penglibatannya.

"Seandainya rasuah itu ada, saya tidak menerimanya (rasuah), tidak juga parti saya," katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.