Bahasa

Presiden PBM bakal bersara, enggan lawan atau guna kekerasan

Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choo dalam satu temubual semalam sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin, 10 Mei, 2014.Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choo dalam satu temubual semalam sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin, 10 Mei, 2014.Presiden Persatuan Bible Malaysia (PBM), Lee Min Choo menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden hari ini, walaupun isu rampasan bible berbahasa Melayu dan Iban di Selangor masih belum selesai. Beliau, bagaimanapun, tidak pergi dengan hati yang berat.

“Saya lega dan tenang selepas menjadi perhatian dalam kontroversi itu,” katanya kepada The Malaysian Insider, semalam.

Dan walaupun beliau bimbang isu lebih besar mengenai kebebasan beragama, beliau percaya kepada Tuhan.

“Sebagai Kristian kita percaya kepada Tuhan dan meletakkan harapan kepada Perlembagaan dan rakyat Malaysia yang baik hati, akan sentiasa mencari penyelesaian kepada masalah itu.

“Dan walaupun kita tahu setiap penyelesaian tidak akan memuaskan hati semua orang, saya percaya kita akan selalu menemui tolak ansur yang membolehkan kita bergerak ke depan,” katanya.

Lee akan menyerahkan jawatannya sebagai presiden PBM hari ini selepas berkhidmat selama lima tahun iaitu sepenggal seperti yang diperuntukkan dalam peraturan persatuan itu.

Ketika menjadi presiden, pada Januari tahun ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis persatuan itu di Damansara Kim, Petaling Jaya dan mengambil 321 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban. Kitab itu masih belum dipulangkan.

Sejak serbuan itu, Lee berkata, beliau digelar pelbagai nama termasuk pengecut, lemah dan pengkhianat kerana tidak mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkuasa agama itu berhubung serbuan dan rampasan berkenaan.

Lee, yang juga seorang peguam, bagaimanapun, berkata beliau lebih suka berunding dan mengadakan dialog daripada mengambil tindakan mahkamah kerana mahu menyelesaikan masalah itu dengan cara perdamaian.

“Bible ajar kita untuk menyayangi jiran, memaafkan musuh dan tidak melawan balik,” katanya.

Beliau berkata, PBM pernah diserbu sebelum ini dan bible diambil, yang berlaku setiap beberapa tahun.

Pada 2009, 5,000 bible yang diimport oleh PBM ditahan di Pelabuhan Klang oleh Kementerian Dalam Negeri dan hanya dipulangkan dua tahun selepas itu.

Ini mendorong kepada pelaksanaan penyelesaian 10-perkara oleh Putrajaya.

Lee berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala di akhir kenyataannya di penyelesaian 10-perkara itu, meminta penganut Kristian memaafkan kerajaan.

“Kita mengeluarkan kenyataan keesokan harinya dan berkata kita maafkan kerajaan persekutuan, malah menolak ganti rugi yang mereka tawarkan.

“Pada masa itu, mereka menahan sehingga 5,000 bible untuk dua tahun, kali ini Jais ambil 321 bible dan ia baru empat bulan. Tidak bolehkah kita maafkan mereka?” soalnya.

Beliau berkata, pencapaian tertinggi PBM ialah apabila Putrajaya, menerusi penyelesaian 10-perkara, mengiktiraf hak persatuan itu untuk mengimport dan mengedarkan bible dalam bahasa Melayu ke gereja di seluruh negara, dan ia dicapai menerusi rundingan, bukan di mahkamah.

Lee berkata, kebajikan komuniti Kristian lebih besar berbanding kecederaan dan ego peribadi dan sebagai organisasi Kristian yang bertanggungjawab, PBM tekad untuk melakukan yang terbaik bagi memberi sumbangan terhadap kebajikan masyarakat.

“Ini tidak bermakna kami tidak hargai hak kami di bawah undang-undang dan Perlembagaan, ia amat mengecewakan setiap kali hak kami dipijak.

“Tetapi kami mencari penyelesaian jangka panjang dan mahu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk memastikan situasi seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Lee berkata, susulan daripada penyelesaian 10-perkara, mereka berupaya membekalkan bible berbahasa Melayu untuk memenuhi permintaan 30% daripada 1.2 juta penganut Kristian yang berbahasa Melayu, kebanyakannya penduduk di Sabah dan Sarawak.

Berdasarkan pengalaman lalu, PBM sedar mencari penyelesaian rampasan bible yang terbaru ini akan mengambil masa lama.

“Pada masa ini sebarang penyelesaian atau cadangan akan berakhir dengan rasa tidak gembira, bagi mana-mana pihak, jadi kita berharap dan berdoa,” katanya.

Walaupun berdepan pengalaman tidak enak dibawa ke balai polis dan disoal siasat susulan serbuan Jais, Lee tidak berdendam.

Katanya, banyak perubahan berlaku sejak 1960-an dan 1970-an.

“Tetapi kita adalah orang yang sama, jadi kita mesti berusaha mencari keseimbangan untuk terus hidup bersama, satu sama lain.

“Dan seperti kita mengutuk ekstremisme, kita perlu memastikan kita juga tidak ekstrem dalam tindakan dan kedudukan kita,” katanya.

Presiden PBM yang baru akan diundi menerusi mesyuarat agung tahunan persatuan itu, hari ini. – 10 Mei, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.