Produk Malaysia boleh memasuki Australia secara bebas tarif mulai 1 Januari, 2013
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Tarif bagi kesemua produk Malaysia yang memasuki Australia akan dihapuskan sebaik sahaja Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) berkuat kuasa pada 1 Jan, 2013, selepas kedua-dua negara menyiapkan langkah peraturan domestik masing-masing.
Malaysia sendiri akan meliberalisasikan duti 10,295 barisan tarif atau 99 peratus daripada barangannya menjelang 2020.
Ini merupakan FTA pertama yang memberikan Malaysia penghapusan tarif segera ke atas kesemua produk dari satu rakan FTA, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed (gambar) pada sidang media selepas menandatangani MAFTA dengan Menteri Perdagangan dan Daya Saing Australia Dr Craig Emerson di sini hari ini.
Mustapa berkata, di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zeland (AANZFTA), Australia komited untuk menghapuskan kesemua tarif hanya menjelang 2020.
Para pengeluar dan pengeksport Malaysia akan berada pada kedudukan lebih baik untuk bersaing di dalam pasaran Australia, terutama sekali bagi barangan seperti produk besi dan keluli, kain dan pakaian dan produk kayu kerana Australia mengenakan duti 5-10 peratus ke atas sesetengah produk itu, katanya.
MAFTA adalah FTA dua hala ke-enam bagi Malaysia selepas Jepun, Pakistan, New Zealand, Chile dan India.
Perundingan mencapai MAFTA bermula pada Mei, 2005 dan dimuktamadkan pada 30 Mac, 2012 selepas 11 pusingan perundingan.
Perundingan terhenti pada 2006 apabila kedua-dua pihak fokus pada AANZFTA dan memulakannya semula pada Ogos 2009 tetapi lajakan sebenarnya meningkat pada Mac 2011 semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu rakan sejawatan Australianya, Julia Gillard dan mereka bersetuju memuktamadkan perundingan dalam tempoh setahun.
Antara 357 barisan tarif yang akan dihapuskan oleh Malaysia secara progresif menjelang 2020 termasuk produk buah-buahan, kimia dan produk kimia, kenderaan automotif dan produk hiliran besi dan keluli.
Sebanyak 87 barisan tarif, yang terdiri daripada produk yang sensitif kepada Malaysia berada dalam senarai pengecualian dan ini termasuk senjata, tembakau dan minuman alkohol.
Dalam sektor perkhidmatan, Malaysia menawarkan sehingga 100 peratus pegangan ekuiti asing dalam pendidikan tinggi swasta menjelang 2015.
Mustapa berkata bahawa dalam pendidikan tinggi, terdapat tiga kampus cawangan Australia di Malaysia yang termasuk Monash University yang mempunyai milikan Australia sebanyak 45 peratus.
Di dalam sektor telekomunikasi, Malaysia akan membenarkan syarikat Australia memiliki 100 peratus ekuiti bagi lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi dan 70 peratus bagi lesen penyedia perkhidmatan jaringan dan penyedia kemudahan jaringan.
Katanya Australia memegang milikan 51 peratus di dalam penyedia perkhidmatan jaringan, Reach Bandwith Sdn Bhd.
Di dalan sektor kewangan, syarikat-syarikat Australia Malaysia memegang ekuiti sehingga 70 peratus di dalam syarikat insurans dan bank pelaburan serta syarikat-syarikat khidmat nasihat korporat dan perancangan kewangan.
Di dalam syarikat-syarikat khidmat nasihat pelaburan, Malaysia memebenarkan ekuiti 100 peratus.
Malaysia juga membenarkan bilangan lebih ramai pekerja dagang Australia yang mempunyai kemahiran pengurusan dan kepakaran ditawarkan bagi sub-sektor perbankan, insurans dan pasaran modal.
Sementara itu, Australia menawarkan komitmen perlindungan bagi membolehkan penyertaan Malaysia di dalam perkhidmatan hospital dan perkhidmatan sokongan hospital dan memudahkan penyertaan Malaysia di dalam penyediaan perkhidmatan perubatan tradisional yang melengkapi (urut Melayu, homeopati, ayurveda dan perubatan tradisional Cina).
Sebagai tambahan, Malaysia dan Australia bersetuju melaksanakan kerjasama dan program ekonomi di dalam bidang automotif, pelancongan, pertanian, e-niaga dan teknologi arang batu bersih.
Teks MAFTA serta jadual barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan tersedia di dalam laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di www.miti.gov.my.
Secara keseluruhannya, Mustapa menjangka mencapai peningkatan signifikan di dalam perdagangan dua hala dan pelaburan antara Malaysia dan Australia.
Katanya jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas meningkat 11 peratus kepada US$12.4 bilion (RM38.68 bilion) dan sehingga 28 peratus pada suku pertama tahun ini sahaja.
Di segi pelaburan, katanya pelaburan Australia yang dizahirkan di dalam sektor pembuatan Malaysia berjumlah US$773 juta pada akhir 2011 manakala pelaburan Malaysia di Austrlia berjumlah US$4.3 bilion. — Bernama
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Tarif bagi kesemua produk Malaysia yang memasuki Australia akan dihapuskan sebaik sahaja Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) berkuat kuasa pada 1 Jan, 2013, selepas kedua-dua negara menyiapkan langkah peraturan domestik masing-masing.



