Bahasa

Prof Aziz Bari: Saya serah kepada polis

October 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Pakar perlembagaan Prof Dr. Abdul Aziz Bari menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan terhadapnya berhubung laporan yang dibuat, mendakwa beliau mempertikaikan titah Sultan Selangor dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, semua orang mempunyai hak untuk membuat laporan polis jika tidak berpuas hati terhadap tindakan mana-mana pihak dan polis juga berhak melakukan tugas mereka.

“Hak orang nak buat laporan polis... saya tak boleh kata apa... terpulang kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini mengulas lima laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Satu laporan dibuat oleh bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Nor manakala empat lagi oleh NGO yang kritikal terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

Dalam laporan masing-masing, mereka mendakwa Aziz (gambar) tidak sepatunya mengeluarkan kenyataan itu kerana kuasa Sultan dalam hal ehwal Islam termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri.

Namun Aziz mempertahankan tindakannya itu dan menafikan beliau mengeluarkan kenyataan yang mencabar kuasa Sultan.

“Saya rasa apa yang saya sebut itu tak ada masalah dalam ruang lingkup yang kita boleh komen. Ada lagi kenyataan yang lebih teruk tapi tak ada pulak laporan polis dibuat terhadap mereka,” katanya.

Aziz dipetik Malaysiakini berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu DUMC bukan perkembangan yang lazim.

Menurutnya, walaupun sebagai ketua agama Islam negeri baginda mempunyai hak itu, tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Ezam mendakwa kenyataan itu boleh mengundang kemarahan masyarakat Islam di Selangor selain menimbulkan suasana tidak harmoni, kacau bilau dan tidak tenteram di negara ini.

Sultan Selangor Isnin lalu bertitah baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan melalui hasil siasatan Jais semasa Majlis Makan Malam Hari Kesyukuran di DUMC, selain menahan 12 orang Islam yang hadir sama dalam majlis itu.

Bagaimanapun, baginda bertitah bukti yang diperolehi tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi